Melantik Samsuri Sebagai Pengerusi PN: Risiko Besar Kepada PAS dan Perikatan Nasional

Melaka Digest
By -
0

Lajuuu dia datang, tak sambut kat airport tapi sanggup terpacak tunggu kat rumah. Muhyiddin belum hilang letih lagi tu..

Cadangan untuk meletakkan Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja tidak memperkukuh gabungan itu, malah berpotensi mendedahkan PAS dan PN kepada risiko kekalahan yang lebih besar pada pilihan raya akan datang. Rekod kepimpinan dan tadbir urus Samsuri menimbulkan terlalu banyak persoalan yang sukar dipertahankan di hadapan rakyat.

Sebagai Menteri Besar Terengganu, prestasi negeri di bawah pentadbiran Samsuri tidak menunjukkan kemajuan yang membanggakan. Terengganu masih gagal berada dalam kelompok negeri terbaik di Malaysia dari sudut pembangunan dan ekonomi, malah terus bergantung serta “meminta-minta” peruntukan daripada kerajaan Persekutuan. Keadaan ini mencerminkan kelemahan perancangan dan pelaksanaan dasar di peringkat negeri.

Lebih membimbangkan, Samsuri mempunyai rekod kepimpinan yang dipersoalkan ketika negeri dilanda bencana. Ketika banjir besar melanda Terengganu, beliau dilaporkan bercuti bersama keluarga, satu tindakan yang memberi gambaran seolah-olah krisis rakyat bukan keutamaan. Ketiadaan empati dan kehadiran kepimpinan ketika saat genting ini meninggalkan kesan buruk terhadap persepsi rakyat.

Isu integriti dan ketelusan juga tidak boleh diketepikan. Lawatan ke luar negara yang didakwa bertujuan menarik pelabur pernah dipersoalkan apabila realitinya sekadar pertemuan di kedai Pakistan di tepi jalan, sedangkan hakikatnya lebih menyerupai percutian keluarga. Naratif sebegini mudah merosakkan imej PAS dan PN yang selama ini cuba ditampilkan sebagai bersih dan berprinsip.

Dari sudut disiplin organisasi pula, rekod Samsuri dalam PN sendiri amat lemah. Ketika memegang jawatan Bendahari PN, beliau meletak jawatan secara tiba-tiba tanpa perbincangan atau penghormatan kepada kepimpinan tertinggi termasuk Muhyiddin Yassin. Akibatnya, jawatan Bendahari Agung PN dibiarkan kosong lebih setahun, satu kecuaian besar yang mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap amanah parti.

Kehadiran Samsuri dalam mesyuarat PN juga sering dipersoalkan. Sikap “datang bila suka, tidak hadir bila tidak mahu” menimbulkan persepsi beliau menganggap urusan gabungan sebagai perkara sampingan, seolah-olah jawatan Menteri Besar memberi keistimewaan untuk mengabaikan disiplin. Corak ini bukan sahaja melemahkan PN, malah menjejaskan kepercayaan rakan gabungan.

Hakikatnya, sehingga kini PN sendiri belum membuat sebarang keputusan rasmi. Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa perkara ini sekadar khabar angin dan belum dibincangkan dalam mesyuarat PN. Kenyataan ini menunjukkan isu kepimpinan PN masih terbuka dan wajar dinilai dengan rasional, bukan sentimen.


Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)