Sejak penubuhan gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN), rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Bumiputra masih menanti bukti kejayaan yang benar-benar konkrit. Setelah beberapa tahun diberi ruang dan peluang, PN gagal menampilkan satu kerangka penyatuan yang jelas, mampan dan berwibawa untuk memacu agenda Islam, Melayu dan Bumiputra secara menyeluruh. Retorik sering dilaungkan, namun hasil yang dirasai rakyat masih longgar dan tidak meyakinkan.
Bukti penolakan terhadap Perikatan Nasional, kekalahan demi kekalahan di pilihanraya kecil termasuk pilihanraya DUN Sabah. Perikatan Nasionala kalah teruk dan memalukan.
Terkini di Perlis, PAS dan BERSATU bercakaran sehingga ke hari ini.
Sebaliknya, inisiatif Rumah Bangsa yang dilancarkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2025 oleh Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tampil sebagai satu gagasan berteras realiti dan sejarah.
Ia bukan slogan kosong tetapi manifestasi komitmen UMNO sebagai tulang belakang Barisan Nasional, peranan yang telah digalas hampir lapan dekad dengan konsisten dan berterusan. Rumah Bangsa menegaskan keperluan penyatuan berasaskan nilai, institusi dan khidmat bukan sekadar pakatan sementara yang rapuh oleh perebutan kuasa.
UMNO bukan lahir daripada serpihan parti atau konflik dalaman mana-mana gerakan politik. Ia tidak ditubuhkan kerana perebutan jawatan atau oportunis politik. UMNO lahir daripada semangat perjuangan membebaskan tanah air, menyingkirkan kuasa penjajah dan mengembalikan maruah serta kedaulatan orang Melayu. Asas penubuhannya jelas, matlamatnya tuntas dan jalannya terbukti.
Hampir 80 tahun, UMNO kekal memainkan peranan sebagai parti khidmat bakti, bukan sahaja kepada orang Melayu dan Bumiputra tetapi kepada semua kaum dan kepercayaan dalam kerangka negara bangsa Malaysia. Inilah keunikan UMNO iaitu memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam tanpa menafikan hak dan keharmonian masyarakat majmuk. Penyatuan yang dibawa UMNO bersifat inklusif, berinstitusi dan berperlembagaan bukan eksklusif atau bersifat sementara.
Dalam konteks ini, Rumah Bangsa bukan penolakan terhadap kerjasama politik tetapi penegasan bahawa penyatuan Islam, Melayu dan Bumiputra memerlukan rumah yang kukuh, bukan khemah sementara. Rumah ini mesti dibina atas sejarah, pengalaman mentadbir, legitimasi institusi dan keupayaan melaksanakan dasar secara berkesan. PN, setakat ini, gagal membuktikan semua itu.
Rakyat perlu menilai bukan pada laungan atau label tetapi pada rekod, konsistensi dan keberanian memikul tanggungjawab.
Rumah Bangsa yang digagaskan UMNO adalah kesinambungan perjuangan nasional iaitu menyatukan, bukan memecahkan dan membina, bukan menumpang serta memimpin, bukan menunggu. Dalam usaha menyatukan Islam, Melayu dan Bumiputra, sejarah dan realiti jelas menunjukkan: jalan itu bukan di bawah PN.

