Kelmarin, suasana politik di sekitar Arau, Kangar dan Padang Besar kembali riuh apabila tiga Wakil Rakyat menerima surat berdaftar berhubung notis terhenti menjadi ahli PAS. Namun kekecohan ini bukan sekadar isu disiplin parti tapi ia membuka deretan persoalan serius tentang tatakelola, kuasa dan integriti pentadbiran PAS Pusat, khususnya peranan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Dato’ Taki).
Ironinya, kegemparan itu bukan kerana tindakan mengejut tetapi kerana kejanggalan kronologi yang sukar diterima akal.
Notis tersebut bertarikh 13 Januari 2026, sedangkan keputusan kononnya “terhenti serta-merta keahlian PAS” dibuat pada 24 Disember 2025. Lewat hampir tiga minggu, satu kelewatan yang bukan kecil dalam urusan parti yang mendakwa berdisiplin dan berprinsip. Dalam tempoh itu, ketiga-tiga ADUN berkenaan telah memfailkan kes di mahkamah berkaitan status ADUN dan mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulama (MSU) berhubung keahlian mereka.
Fakta mahkamah pula tidak memihak kepada naratif tergesa-gesa PAS Pusat. Mahkamah Tinggi Kangar telah menyebut kes pada 7 Januari 2026, manakala MSU bermesyuarat pada 9 Januari 2026 namun agenda rayuan ditangguhkan ke mesyuarat seterusnya.
Dalam keadaan proses dalaman dan kehakiman masih berjalan, kemunculan Notis 15(A)(2) yang lewat ini menimbulkan persepsi jelas bahawa tindakan tergesa-gesa selepas fakta bukan keputusan berasaskan proses. Kritikan keras menyifatkan ini sebagai kerja lembab, jahat dan khianat, malah disindir “dibawa kura-kura”.
Lebih mencetuskan kemarahan akar umbi, notis berkenaan dihantar oleh firma guaman Tetuan Wan Jawahir & Takiyuddin, beralamat di Jalan Long Yunus, Kota Bharu dan Bernama merekodkan Dato’ Taki sebagai peguamnya. Di sini persoalan menjadi lebih serius, sejak bila PAS Pusat ‘sub-con’ kerja pos dan notis parti kepada firma guaman? Jika benar, ini bukan lagi isu prosedur tapi ini isyarat salah guna kuasa.
Hubungan antara firma guaman tersebut dengan PAS Pusat kini dipersoalkan secara terbuka. Apakah skop tugas sebenar firma ini yang telah, sedang dan akan dibuat bagi pihak PAS? Adakah perkhidmatan ini berbayar dan berapa jumlah wang ahli PAS telah digunakan?
Sejauh mana penglibatan firma ini dengan tugasan SUA serta akses kepada rahsia dan dokumen sulit parti? Berapa banyak dokumen jamaah PAS kini berada di tangan firma tersebut?
Soalan-soalan ini bukan remeh. Ia menyentuh ketelusan, akauntabiliti dan keselamatan organisasi. Lebih-lebih lagi apabila nama Setiausaha Agung sendiri terpalit secara langsung. Tidak hairanlah Dato’ Taki kini digambarkan sebagai figura paling dibenci oleh ahli PAS Perlis bukan kerana sentimen kosong tetapi kerana rentetan tindakan yang dilihat berbahaya kepada keadilan dalaman parti.
Buat masa ini, jawapan perlu datang daripada Dato’ Taki, bukan sindiran, bukan alasan teknikal tetapi penjelasan tuntas dan terbuka. Akar umbi berhak tahu siapa membuat keputusan, bagaimana ia dibuat dan mengapa prosedur asas dicabuli. Jika tidak, krisis ini tidak akan reda dan ia akan membesar.
Sumber: TikTok milik Athirah al-Junaidah, Taman Bersatu Arau
