Seorang bekas Ketua Bahagian BERSATU Teluk Intan, Firdaus Rizal Abdul Manan, dijatuhi hukuman penjara 18 tahun, 18 sebatan serta denda keseluruhan RM90,000 selepas Mahkamah Sesyen Teluk Intan mensabitkannya atas sembilan pertuduhan pecah amanah membabitkan kerugian berjuta-juta ringgit.
Hakim Norhamizah Shaiffuddin menjatuhkan hukuman dua tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan. Mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan secara berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan 18 tahun penjara.
Pada peringkat awal perbicaraan, tertuduh mengaku tidak bersalah. Namun, pada 22 Disember 2025, beliau menukar pengakuan kepada bersalah bagi kesemua pertuduhan. Susulan itu tertuduh memohon hukuman diringankan dengan alasan faktor usia, tanggungan lima anak yang masih bersekolah, masalah kesihatan, ketiadaan pendapatan tetap serta status sebagai pencari nafkah tunggal.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan bahawa hukuman berat adalah wajar memandangkan kesalahan dilakukan secara berulang, melibatkan ramai mangsa, dan tidak berlaku dalam satu transaksi tunggal. Pendakwaan turut berhujah bahawa kesalahan tersebut dilakukan secara terancang dalam tempoh panjang.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 26 Januari, Hakim Norhamizah menyatakan bahawa kesalahan dilakukan sejak 2012 hingga 2019, melibatkan kerugian besar yang tidak pernah dipulangkan kepada mangsa.
“Tempoh panjang antara tarikh kesalahan menunjukkan tertuduh mempunyai peluang untuk menghentikan perbuatan tersebut sejak awal, namun ia diteruskan sehingga tahun 2019,” kata hakim.
Mahkamah turut menolak hujahan pembelaan bahawa tertuduh hanyalah pemegang akaun amanah secara nominal dan tidak terlibat secara aktif.
“Rayuan bahawa tertuduh tidak terbabit secara langsung dan hanya disabitkan kerana status sebagai pemegang akaun amanah adalah tidak berasas dan tidak diterima mahkamah,” tegasnya.
Hakim turut mengambil kira kesan besar terhadap mangsa yang bukan sahaja mengalami kerugian kewangan, malah kehilangan masa, tenaga serta reputasi. Mahkamah dimaklumkan bahawa sekurang-kurangnya seorang mangsa meninggal dunia sebelum sempat melihat keadilan ditegakkan.
Mahkamah juga memutuskan bahawa kesemua sembilan pertuduhan tidak boleh dianggap sebagai satu transaksi kerana dilakukan pada masa, mangsa dan keadaan berbeza, serta tidak berkaitan antara satu sama lain.
Sementara itu, peguam Khesminkapil Singh Dhanoa memaklumkan bahawa pihaknya akan mewakili tertuduh untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi pada 6 Februari, bagi memohon agar hukuman penjara dijalankan secara serentak.
