Audio Forensik Ketua Menteri: Kenapa ‘Drama’ Hantar Dokumen Di KLIA?

Melaka Digest
By -
0
foto hiasan

Isu audio forensik ini semakin hari semakin kedengaran seperti satu persembahan orkestra dan bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk mencipta gambaran palsu?

Nama Verden Forensics Limited tiba-tiba dijulang sebagai pengesah kebenaran mutlak. Bukan soal sama ada syarikat itu wujud atau tidak tetapi adakah ia benar-benar mempunyai pengalaman luas dalam kes berprofil tinggi yang melibatkan pertikaian politik dan kepentingan awam? Atau sekadar cukup untuk menjadi ‘cop kelulusan’ yang sedap disebut dalam sidang media?

Lebih menggelikan, proses penyerahan bahan audio itu sendiri langsung tidak dijelaskan secara profesional. Adakah rakaman asal diserahkan secara fizikal atau hanya fail digital yang boleh disalin, dipindah dan diubah suai tanpa jejak?

Dalam dunia forensik, ini bukan soalan remeh. Ini soalan asas. Tanpa penjelasan tentang chain of custody, semua laporan forensik hanya tinggal kertas bercetak yang cantik, tetapi kosong nilainya.

Kemudian muncul babak paling dramatic iaitu dokumen forensik diterima di KLIA. Ya, di lapangan terbang. Bukan di pejabat, bukan melalui wakil sah, bukan melalui saluran rasmi. KLIA, seolah-olah terminal penerbangan kini menjadi pejabat satelit forensik antarabangsa?

Sukar untuk tidak bertanya mengapa nampak begitu terdesak? Mengapa perlu terbang dari UK hanya untuk menyerahkan dokumen, kemudian terus pulang? Jika sekadar laporan, bukankah kurier antarabangsa atau sistem digital lebih munasabah?

Lebih aneh, tiada penjelasan mengapa kaedah luar biasa ini dipilih. Dalam era tandatangan digital, e-mel “encrypted” dan pemindahan data selamat, penerbangan pergi-balik untuk serahan dokumen kelihatan lebih seperti aksi simbolik daripada keperluan profesional. Ia nampak dramatik tetapi tidak menambah kredibiliti tapi sebaliknya menambah curiga.

Apa yang lebih menjadi persoalan ialah bagaimana laporan forensik ini digunakan. Ia tidak dibentangkan dengan metodologi yang telus, tidak dihuraikan proses analisisnya, tidak dijelaskan jenis perbandingan suara yang dibuat. Sebaliknya, ia terus diangkat sebagai senjata naratif, seolah-olah rakyat tidak berhak bertanya kerana “pakar luar negara sudah sahkan”.

Sejak bila bertanya tentang proses dianggap mempertikaikan kebenaran? Jika analisis itu benar-benar kukuh, mengapa takut menjelaskan langkah-langkahnya? Jika rakaman itu asli, mengapa proses penghantarannya kelihatan seperti operasi rahsia yang lebih sesuai untuk filem konspirasi daripada siasatan forensik?

Isu ini tidak lagi tentang audio semata-mata. Ia tentang bagaimana bunyi dijadikan bukti dan bagaimana bukti dijadikan alat politik. Apabila terlalu banyak yang kabur, terlalu banyak yang tergesa-gesa dan terlalu banyak yang disorokkan di sebalik istilah teknikal, rakyat berhak untuk bersikap skeptikal.

Ini kerana dalam politik, bukan semua yang ada logo luar negara itu berwibawa, bukan semua laporan forensik itu muktamad dan bukan semua yang diterima di lapangan terbang itu membawa kebenaran.

Bersambung, apakah hasil forensik sebagai bukti yang ‘absolute’?
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)