Hamzah dan Kumpulan Dipecat Tidak Akan Sertai UMNO

Melaka Digest
By -
0

Hamzah Zainuddin bersama kumpulan Ahli Parlimen dan pemimpin yang dipecat dilaporkan tidak akan menyertai UMNO mahupun PAS. Sebaliknya, kumpulan ini dikatakan sedang mempertimbangkan penubuhan parti politik baharu yang kekal bekerjasama dengan PAS di bawah payung Perikatan Nasional (PN).


Menurut sumber dalaman, kemungkinan Hamzah dan sekutunya menyertai PAS adalah sangat tipis. Perancangan sebenar adalah membentuk platform politik sendiri, satu langkah strategik untuk memastikan kelangsungan perjuangan dalam PN tanpa terikat dengan konflik dan tindakan disiplin dalaman parti sedia ada. “Rancangannya jelas iaitu tubuh parti baharu, kekal selari dengan PAS dalam PN kata sumber itu.

Lebih signifikan, sumber sama mendedahkan bahawa kumpulan tersebut tidak lagi melihat Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin sebagai relevan dalam menentukan hala tuju masa depan mereka. Tindakan disiplin keras terhadap Hamzah yang dianggap antara arkitek kejayaan awal BERSATU menjadi titik tolak kepada krisis kepercayaan ini. “Jika beliau boleh bertindak sedemikian terhadap Hamzah, tiada jaminan perkara sama tidak akan berlaku kepada pemimpin lain,” tambah sumber itu.

Dalam konteks ini, penubuhan parti baharu dilihat sebagai memberi ruang kepada pemimpin yang mahu terus berkhidmat dalam PN tanpa hidup dalam bayang-bayang tindakan disiplin yang dianggap selektif. Ia juga mencerminkan keperluan mendesak untuk pembaruan struktur dalam blok pembangkang agar stabil dan berdaya saing.

Pada Jumaat lalu, 17 pemimpin BERSATU dipecat, termasuk Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut. Turut dipecat ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, serta Zainol Fadzi Paharudin (ADUN Sungai Manik).

Senarai itu diperluaskan kepada Ahli Parlimen Padang Rengas Azahari Hasan, ADUN Bemban Mohd Yadzil Yaakub, dan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob selain beberapa pemimpin bahagian dari Sabah hingga Perak.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)