Hamzah kekal Ketua Pembangkang

Melaka Digest
By -
0

Kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang setakat ini kekal, dengan tempat duduk Ahli Parlimen BERSATU yang dipecat parti itu juga tidak berubah.Perkara itu disahkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, selepas mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul, pagi tadi.

Beliau juga mengesahkan tidak menerima sebarang pemberitahuan daripada Ahli Parlimen blok pembangkang untuk melakukan sebarang perubahan kedudukan.

"Saya jumpa dengan Speaker jam 11 pagi tadi. Bila bincang saya rujuk kenyataan dia (Johari). Setakat ini, Hamzah masih Ketua Pembangkang. Jadi dia pun setuju dan setakat ini kedudukannya begitulah.

"Tak ada apa-apa notifikasi daripada kumpulan mengenai kedudukan Ketua Pembangkang. Jadi tidak ada apa. Perubahan kerusi pun tidak ada.
"Kita pun ada dua hari lagi sidang (Dewan Rakyat). Jadi kita tak fikir nak buat apa-apa perubahanlah setakat ini. Masanya begitu singkat.

"Jadi kita bincang (untuk apa-apa perubahan) pada masa (lebih) panjang nanti. Tidak apa keputusan (mengenai perubahan) setakat ini," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, PAS memaklumkan calon dari partinya akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Hamzah yang dipecat keahliannya daripada BERSATU baru-baru ini.

Menurut notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan, pemecatan Hamzah dibuat kerana tindakannya yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Dalam perkembangan sama, sumber maklumkan lebih 60 Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan untuk Hamzah kekal sebagai Ketua Pembangkang.

Ia sekali gus mencapai majoriti sokongan Ahli Parlimen pembangkang bagi mengekalkan Ahli Parlimen Larut itu menerajui blok pembangkang di Dewan Rakyat.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)