Percaturan politik di Melaka panas apabila nama Radzi Jidin disebut-sebut sebagai antara tokoh yang berpotensi mengemudi parti di negeri bersejarah itu sehingga ke pilihanraya negeri Melaka.
Namun begitu, beberapa penganalisis politik melihat laluan beliau bukan sahaja berliku malah sukar untuk menyaingi pengaruh dan pengalaman lama yang dimiliki oleh Rahim Thamby Chik.
Penyokong Bersatu Melaka sendiri tidak yakin Radzi Jidin mampu atasi Rahim Thamby Chik.
Walaupun Radzi hadir dengan reputasi tersendiri. Sebagai antara penggerak awal parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia, beliau sering dikaitkan dengan imej teknokrat bersih dan berpendidikan. Latar belakang pentadbiran serta imej profesional yang dibawanya memberikan kelebihan tertentu, khususnya dalam kalangan pengundi bandar dan kelas menengah. Namun realiti politik Melaka tidak semudah retorik nasional. Politik negeri itu terkenal dengan jaringan akar umbi yang kuat, hubungan peribadi yang lama terbina, serta kesetiaan penyokong yang sukar digugat.
Dalam konteks ini, pengalaman dan pengaruh lama seperti yang pernah dibina Rahim Thamby Chik dilihat masih mempunyai nilai sentimental dan strategik tersendiri.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila timbul percanggahan naratif dalam kepimpinan parti sendiri. Ketua Bersatu Kota Melaka, Hishamuddin Abdul Karim, menegaskan bahawa parti tidak pernah ketandusan pelapis kepimpinan atau calon pilihan raya. Kenyataan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati politik.
Jika benar parti tidak pernah kekurangan pelapis, mengapa wujud keperluan untuk membawa masuk tokoh dari luar bagi menerajui kepimpinan negeri?
Lebih membingungkan, apabila hanya tinggal Hishamuddin seorang sahaja lagi Ketua Bahagian yang masih bertahan selepas lima Ketua Bahagian lain meletakkan jawatan, mengapa beliau tidak diberikan peluang menggalas tanggungjawab tersebut?
Persoalan ini turut dibangkitkan oleh bekas Ketua Bersatu Melaka, Dr Yadzil Yaakub yang dipecat pada 12 Februari lalu. Beliau secara terbuka mempersoalkan kekuatan sebenar parti itu di Melaka apabila terpaksa ‘mengimport’ pemimpin dari luar untuk mengepalai negeri berkenaan.
Menurutnya, pimpinan pusat sering mendakwa keadaan parti masih kukuh, meskipun hakikat di peringkat negeri menunjukkan ramai pemimpin dan ahli telah meletakkan jawatan atau keluar parti. Perkembangan ini memberi gambaran wujudnya jurang antara persepsi rasmi dan realiti di lapangan.
Akhirnya, persoalan sebenar bukan hanya sama ada Radzi mampu menandingi Rahim Thamby Chik tetapi sama ada struktur dan kekuatan dalaman parti itu sendiri cukup stabil untuk menyokong mana-mana pemimpin yang diketengahkan.
Bayangkan Mas Ermieyati sendiri tidak dilantik sebagai Ketua BPN Melaka walaupun beliau adalah ahli parlimen Masjid Tanah, siapalah Radzi Jidin..
