DUN Bemban, Sungai Udang Sukar Dipertahankan — Bekas Ketua Bersatu Melaka

Melaka Digest
By -
0

Kedudukan DUN Bemban dan DUN Sungai Udang dilihat semakin rapuh untuk dipertahankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, susulan krisis kepimpinan dan perpecahan dalaman yang kian meruncing. Amaran itu disuarakan bekas Ketua Bersatu Melaka, Dr Yadzil Yaakub yang dipecat daripada parti pada 12 Februari lalu.


Menurut Yadzil, pimpinan pusat terus mendakwa Bersatu masih kukuh di Melaka walaupun realitinya menyaksikan gelombang pemimpin dan ahli keluar parti serta meletak jawatan. Situasi itu, katanya, bercanggah dengan gambaran “stabil dan kuat” yang cuba dipertahankan oleh kepimpinan tertinggi.

Beliau turut menyentuh peletakan jawatan Rahim Thamby Chik sebagai Ketua Bersatu Melaka, yang kemudiannya digantikan oleh Radzi Jidin seperti dipersetujui Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin. Yadzil menyifatkan keputusan melantik tokoh dari luar Melaka sebagai pengakuan tidak langsung bahawa Bersatu kekurangan pemimpin tempatan yang berwibawa.

“Kononnya kata lebih hebat, ada sokongan lagi dan tak mati lagi Bersatu di Melaka. Tetapi akhirnya terpaksa ‘import’ orang luar untuk jadi ketua negeri,” katanya, sambil menegaskan sepatutnya kepimpinan negeri diserahkan kepada pemimpin akar umbi yang masih setia dan memahami realiti tempatan.

Beliau menegaskan, Bersatu sepatutnya melantik individu yang benar-benar arif dengan selok-belok politik Melaka, mengenali ahli serta jentera di peringkat bahagian dan cawangan, dengan masa yang semakin suntuk menuju PRN hujung tahun ini, pelantikan “orang luar” disifatkan bakal menambah kekangan, bukannya mempercepatkan pemulihan parti.

Yadzil menjangkakan krisis dalaman yang berlarutan akan menyukarkan Bersatu mempertahankan dua kerusi DUN yang dimenangi pada PRN 2021 iaitu Bemban dan Sungai Udang. Beliau melihat jentera parti berada dalam keadaan lemah dan terpecah.
 
Keadaan itu bertambah parah apabila Bersatu Melaka didakwa hampir lumpuh selepas lima daripada enam jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran serta-merta. Bahagian terlibat ialah Masjid Tanah, Hang Tuah Jaya, Tangga Batu, Alor Gajah dan Jasin, manakala Kota Melaka menjadi satu-satunya bahagian yang tidak terlibat.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)