Ketegangan terbuka antara kepimpinan BERSATU dan PAS akhirnya terserlah secara terbuka dan ini memperlihatkan perbezaan pendekatan yang ketara dalam mengurus isu kedudukan Ahli-ahli Parlimen yang dipecat daripada BERSATU.
Pertembungan pandangan antara Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz dan pimpinan PAS termasuk Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, bukan sekadar perbezaan teknikal, tetapi mencerminkan falsafah kuasa dan kepimpinan yang berbeza dalam Perikatan Nasional (PN).
Tun Faisal menegaskan bahawa isu pemakluman status Ahli Parlimen yang dipecat dan proses menamakan Ketua Pembangkang baharu adalah dua perkara berasingan yang tidak wajar dicampuradukkan. Menurut beliau, tanggungjawab memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengenai status terkini keahlian Ahli-ahli Parlimen yang dipecat adalah tugas PN dan boleh diselesaikan dengan mudah serta pantas melalui satu surat rasmi. Maklumat asas seperti nama Ahli Parlimen, kawasan, tarikh pemecatan, status bukan lagi wakil BERSATU dan PN, serta permohonan memindahkan tempat duduk mereka ke Blok Bebas, katanya, sudah memadai untuk tindakan pentadbiran.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemindahan tempat duduk ke Blok Bebas adalah urusan pentadbiran Dewan Rakyat yang tidak semestinya berlaku serta-merta, namun tidak wajar dibiarkan berlarutan sehingga berbulan-bulan. Sementara itu, soal melantik Ketua Pembangkang baharu adalah bidang kuasa Mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan hanya akan diperakukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat selepas keputusan rasmi dibuat. Hakikat bahawa perkara ini telah dibincangkan dalam Mesyuarat Luar Biasa MT PN pada 22 Februari 2026, menurut Tun Faisal, sepatutnya memudahkan proses dan mengelakkan kekeliruan.
Sebaliknya, respons daripada Ahli Parlimen Bachok memperlihatkan pendirian PAS yang lebih berhati-hati dan defensif. Beliau menyarankan agar pimpinan BERSATU “berpuasa” daripada mengeluarkan kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan keadaan, sambil menegaskan isu dalaman wajar diselesaikan melalui saluran dalaman. PAS, katanya, lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada isu-isu nasional di Parlimen seperti tarif perdagangan, laporan audit, bajet tambahan, rang undang-undang utama, SPRM, ekonomi dan pendidikan, berbanding pergelutan jawatan dan kerusi.
Lebih ketara, PAS memilih untuk menyerahkan sepenuhnya isu kedudukan Parlimen kepada pucuk pimpinan tertinggi PN, dengan alasan pengerusi baharu PN masih belum “panaskan kerusi” dan suasana perlu dibiarkan reda terlebih dahulu. Malah, pendedahan bahawa Muhyiddin Yassin telah menghubungi Abdul Hadi Awang bagi membincangkan kedudukan Ketua Pembangkang dilihat sebagai isyarat jelas bahawa PAS mahu mengekalkan status quo, bukan mempercepatkan penstrukturan semula blok pembangkang.
Di sinilah pemerhati politik melihat “warna sebenar” PAS. Di satu pihak, PAS menolak tekanan terbuka dan menekankan kesantunan dalaman. Namun di pihak lain, sikap ini dilihat seolah-olah mempertahankan kedudukan sedia ada Hamzah Zainudin, meskipun beliau kini berstatus Ahli Parlimen Bebas.
Kritikan semakin lantang apabila timbul persoalan mengapa PAS tidak mampu menampilkan tokoh Parlimen yang benar-benar berwibawa untuk menggantikan Hamzah, sedangkan parti itu sering menonjolkan kelebihan akademik dan latar belakang “PhD” dalam kalangan wakil rakyatnya.
Jika PAS benar-benar bersedia memimpin negara, mengapa jawatan strategik seperti Ketua Pembangkang dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masih gagal diganti dengan calon daripada PAS sendiri, termasuk kedudukan Mas Ermieyati Samsudin yang sehingga kini tidak 'dicabar' secara serius? Keadaan ini menguatkan persepsi bahawa PAS lebih selesa berada dalam kerajaan atau gabungan kuasa, berbanding memikul tanggungjawab kepimpinan nasional yang menuntut ketegasan dan keputusan jelas.
Dalam konteks ini, kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN bukanlah sebagai calon Perdana Menteri ke-11, semakin tampak berasas. Ia seolah-olah mengesahkan bahawa PAS belum bersedia atau belum berani untuk mengangkat kepimpinan nasional secara terbuka.
.jpeg)