Hamzah, Noh Omar, Rais Yatim, Khir Toyo, Rahim Tamby Chik, Tolong Jawab Bagi Kami Faham

Melaka Digest
By -
0

1. Rakyat tidak perlukan penjelasan panjang. Rakyat cuma mahu tahu satu perkara, adakah tindakan keluar beramai-ramai ini benar-benar menguatkan pembangkang, atau sedang memberi nyawa kepada pihak yang sepatutnya kita cabar?


2. Jutaan pengundi memberi mandat bukan kerana taksub kepada individu, tetapi kerana depa percaya kepada sebuah alternatif. Kepercayaan itu mahal. Ia bukan undi kosong. Ia amanah. Dan amanah yang dikhianati tidak mudah dipulihkan.

3. Kalau tindakan ini menguatkan, tunjukkan di mana kestabilan itu hari ini. Tunjukkan di mana keyakinan yang bertambah. Tunjukkan bahawa blok pembangkang kini lebih tersusun berbanding sebelum krisis ini tercetus.

4. Tetapi jika tindakan ini melemahkan, maka keberanian sebenar ialah mengakui kesannya. Politik bukan sekadar tentang siapa berani melangkah keluar. Politik adalah tentang siapa berani memikul akibat.

5. Rakyat atas pagar sedang memerhati dalam diam. Anak muda yang dahulu bersemangat kini memilih untuk menilai. Depa tidak bersuara, tetapi mereka menyimpan. Dan undi atas pagar ni dia tak berdebat tapi dia menghukum dalam diam.

6. Adakah keputusan ini dibuat selepas menimbang kesan terhadap persepsi rakyat? Atau ia keputusan yang lahir daripada ego dan kepentingan peribadi yang akhirnya menumpahkan kesannya kepada seluruh blok pembangkang?

7. Jika niatnya menyelamatkan parti, mengapa tidak memilih jalan cabaran dalam struktur sedia ada? Mengapa memilih langkah yang secara langsung menggoncang imej kestabilan ketika rakyat sedang mencari keyakinan?

8. Ketika kerajaan sedang berdepan tekanan, dan tiba-tiba pembangkang pula bergolak, siapa yang sebenarnya mendapat ruang bernafas paling besar daripada keadaan ini? Soalan ini bukan tuduhan. Ia realiti yang rakyat sendiri boleh nilai.

9. Ini bukan soal individu. Ini soal keseimbangan kuasa negara. Setiap langkah dalam parti utama pembangkang memberi kesan kepada jutaan rakyat yang berharap adanya benteng terhadap kerajaan.

10. Jika tindakan ini bukan untuk rakyat, maka untuk siapa? Politik tanpa mandat rakyat hanyalah perebutan kuasa peribadi. Dan rakyat boleh membezakan antara perjuangan dan Pengkhianatan.

11. Orang yang benar-benar mahu menyelamatkan rumah tidak akan membakar tiangnya sendiri. Dia akan pertahankan geran, pertahankan kunci, pertahankan asas. Bila abang sulung dihalau, adik-adik tidak sepatutnya lari meninggalkan rumah, mereka sepatutnya mempertahankannya dan perbaikinya.

12. Sejarah tidak menilai niat melalui pidato. Sejarah menilai kesan melalui akibat. Dan krisis ini akan dicatat sama ada sebagai tindakan berani demi pembaikan, atau sebagai pengkhianatan yang secara tidak langsung melemahkan benteng rakyat sendiri.

13. Yang paling mahal dalam politik bukan kuasa. Ia adalah kepercayaan. Sekali kepercayaan itu retak, ia tidak kembali hanya dengan kenyataan media atau ceramah. Ia kembali dengan pengorbanan dan keberanian mengutamakan rakyat melebihi diri sendiri tapi ambil masa yang terlalu panjang.

14. Hari ini dalam group WhatsApp dan media sosial, bukan lagi pembangkang melawan kerajaan tapi pembangkang melawan pembangkang. Penyokong Hamzah berperang dengan penyokong Muhyiddin. Penyokong PAS bertikam hujah dengan penyokong Bersatu. Algoritma media sosial penuh dengan sesama sendiri saling menuduh pengkhianat. Kalau akar umbi sudah berpecah begini, di mana wajah kestabilan yang mahu ditawarkan kepada rakyat? Adakah ini gambaran blok yang bersedia menang PRU16 atau inilah goblok yg sedang gali kubur dalam PRU 16 nanti ?

15. Perjuangan adalah melindungi rakyat, pengkhianatan pula adalah melindungi kedudukan dan rakyat tahu beza antara perjuangan dan Pengkhianatan, rakyat tak bodoh dan tak buta.

Pak Ya Kabinet
Khalifah Pena
21 Februari 2026
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)