Dato Nolee Ashilin
Saya mengambil maklum kenyataan Ketua Srikandi Malaysia hari ini yang menyatakan sokongan kepada YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin.
Secara peribadi dan sebagai pimpinan dalam sayap Srikandi, saya menghormati hak mana-mana individu untuk menyatakan pendirian politik masing-masing. Namun begitu, saya ingin tegaskan, setakat pengetahuan dan penglibatan saya dalam platform rasmi dalaman Srikandi, tidak pernah dibangkitkan sebarang ketidakpuasan hati terhadap Presiden parti secara rasmi mahupun melalui saluran organisasi yang sewajarnya.
Justeru, pendirian yang diumumkan adalah kenyataan peribadi beliau dan bukan mewakili sayap Srikandi. Sebarang keputusan atau pendirian yang melibatkan hala tuju sayap seharusnya melalui proses perbincangan dan musyawarah, selaras dengan semangat perlembagaan parti serta amalan kepimpinan yang berstruktur.
Saya percaya bahawa kekuatan Srikandi terletak pada kesatuan, disiplin dan kematangan kita dalam mengurus perbezaan pandangan. Dalam apa jua keadaan, kita mesti memastikan bahawa tindakan kita tidak menjejaskan kestabilan parti serta kepercayaan akar umbi.
Saya menyeru semua ahli Srikandi agar kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi, dan terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti.
Semoga Allah SWT memandu kita semua dalam membuat keputusan yang terbaik demi agama, bangsa dan negara.
Nolee Ashilin Mohd Radzi
Naib Ketua Srikandi Malaysia

