Hanafiah Kekal Jalankan Tugas - Samsuri

Melaka Digest
By -
0

EXCO kerajaan negeri yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kekal dan menjalankan tugas seperti biasa.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kerajaan negeri berpegang kepada prinsip undang-undang bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah melalui perbicaraan yang adil.

"EXCO kekal dan (tugas) berjalan seperti biasa. Mengikut prinsip undang-undang, seseorang belum bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh perbicaraan yang adil," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, BH melaporkan EXCO berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu jam 9 pagi ini.

BH difahamkan, SPRM sudah mendapatkan keizinan daripada pendakwa raya untuk mendakwa pemimpin politik berkenaan.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan dan enggan mengulas lanjut.

"Biar undang-undang tentukan. Saya tiada komen lanjut. Beliau berhak mendapat perbicaraan yang adil, sama seperti kita semua. Itulah prinsip keadilan," katanya.

Ahad lalu, BH melaporkan SPRM Terengganu menahan EXCO kerajaan negeri itu kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

Suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai EXCO dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua buah anak syarikat kerajaan negeri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
 

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)