Keruntuhan “Ulama Memimpin”: 'Geng Tidak Berkopiah' Kuasai Kepimpinan PAS

Melaka Digest
By -
0

Slogan “Kepimpinan Melalui Ulama” yang sekian lama dijadikan teras moral, modal dan politik PAS kini semakin kehilangan makna. Realitinya, era “Ulama Memimpin” sudah berakhir bukan kerana tekanan luar tetapi akibat percanggahan dalaman yang semakin ketara dan tidak konsisten, khususnya dalam kalangan kepimpinan muda parti itu sendiri.


Perilaku terkini Pemuda PAS Malaysia memperlihatkan kecenderungan politik yang tidak berprinsip, ibarat lalang yang berubah arah mengikut hembusan angin kuasa. Hari ini menyokong, esok menafikan, hari ini menjulang, esok menjatuhkan. Inilah punca mengapa PAS semakin sukar membina hubungan jangka panjang yang stabil dengan mana-mana rakan politik.

Masih segar dalam ingatan ketika Muktamar Agung PAS ke-66 pada September 2025, apabila Afnan Hamimi, selaku Ketua Pemuda PAS, secara terbuka mencadangkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon utama Perdana Menteri Perikatan Nasional sekiranya gabungan itu diberi mandat memerintah negara. Cadangan tersebut bukan sekadar pandangan peribadi tetapi diucapkan dalam forum tertinggi parti dan ianya suatu isyarat politik (political hint) yang lazimnya dianggap serius dalam budaya PAS.

Namun, segalanya berubah secara drastik selepas pelantikan Samsuri Moktar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional. Dalam satu kenyataan yang mengejutkan, Ketua Pemuda PAS pada Februari 2026 tampil pula mencadangkan Samsuri sebagai calon Perdana Menteri dengan naratif baharu iaitu teknokrat, tenang dan berorientasikan hasil. Soalnya, di manakah prinsip? Dan ke mana perginya konsistensi?

Apakah Tuan Ibrahim sebenarnya telah dikhianati oleh Pemuda PAS sendiri? Lazimnya, resolusi dan cadangan dalam muktamar mencerminkan kehendak akar umbi. Namun akhirnya, PAS terus terperangkap dalam budaya autokrasi apabila kata putus mutlak tetap berada di tangan Presiden, Hadi Awang, tanpa ruang semak dan imbang yang bermakna. Malah kedudukan Dewan Ulama yang selama ini dicanang PAS kononnya entiti tertinggi dan ‘mulia’ entah kemana.

Tuan Ibrahim akhirnya menjadi mangsa permainan kuasa ini. Setelah “gading bertuah” diperoleh, “tanduk” pula dianggap tidak lagi berguna. Demi meredakan ketegangan, beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan defensif bahawa pelantikan Samsuri hanyalah untuk memperkukuh PN, bukan sebagai poster boy atau calon Perdana Menteri. Kenyataan yang lebih mencerminkan bahawa Tuan Ibrahim seakan berpatah arang.

Lebih malang, Tuan Ibrahim bukan sahaja dikhianati oleh rakan kepimpinan tertinggi tetapi juga oleh Ketua Pemuda PAS, sayap yang sepatutnya menjadi benteng dan pelapis masa depan parti. Awalnya dilambung tinggi, akhirnya dibiarkan jatuh tanpa disambut, jatuh berkecai tanpa pembelaan. Nasibnya tidak ubah seperti Pak Kaduk, menang sorak, kampung tergadai.

Apa yang pernah dilakukan oleh Mohamad Sabu suatu ketika dahulu ketika menentang dominasi Hadi Awang sebenarnya tepat dari sudut prinsip iaitu menentang pemusatan kuasa dan politik eksklusif berasaskan ‘menunggang agama’. Namun kesilapannya ialah gagal membina jaringan kukuh dengan kelompok “ tidak suka berkopiah”.

Hari ini, PAS mengulangi kesilapan yang sama. Bezanya, keretakan itu kini berlaku dari dalam. Apabila slogan tinggal retorik dan ulama hanya dijadikan hiasan naratif, maka jelaslah bahawa “Kepimpinan Melalui Ulama” bukan lagi reality, ia telah berakhir, ditamatkan oleh tangan-tangan dalam parti itu sendiri. Hadi Awang juga dilihat seperti ‘lembu dicucuk hidung’.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)