Pelaburan Pusat Data AI Melaka: Ahli Parlimen PAS Tangga Batu Gagal Fahami Struktur Ekonomi Digital

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan yang dikeluarkan oleh YB Haji Bakri Jamaluddin berhubung pelaburan pusat data AI di Melaka jelas mencerminkan kegagalan memahami struktur ekonomi digital moden dan tanggungjawab sebenar seorang pembuat dasar.


Sebagai Ahli Parlimen dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, beliau seharusnya tampil dengan analisis ekonomi berasaskan data dan dasar, bukan mengulang naratif ketakutan yang bersifat spekulatif dan separuh faham. Hujah yang dibawa membuktikan bahawa beliau terlalu lemah dari sudut ekonomi mungkin kerana beliau hanya datang dari latar belakang akademik dengan lulusan Diploma Pertanian dari UPM sahaja.

Dakwaan bahawa pusat data AI akan menjadikan Melaka sebagai ‘enklaf digital’ atau sekadar penyedia tanah, air dan elektrik adalah satu gambaran simplistik yang tidak sejajar dengan realiti ekonomi global. Jika logik ini diguna pakai, maka hampir semua pelaburan asing langsung yang pernah diterima Malaysia termasuk dalam sektor elektronik, automotif dan tenaga juga wajar ditolak kerana harta intelek dan keuntungan akhirnya dimiliki oleh syarikat induk luar negara. Namun sejarah membuktikan FDI tetap membawa limpahan ekonomi, pemindahan kemahiran dan pembangunan ekosistem tempatan. Kenyataan YB ini bukan analisis tetapi andaian yang gagal memahami fungsi sebenar pelaburan strategik. Ini seperti mengulangi ‘sejarah PAS berdemostrasi’ menolak kewujudan projek Lynas di Pahang dahulu dan bila PAS sebahagian dari kerajaan pusat maka projek ini diberikan lesen lanjutan pula dan bukannya ditamatkan.

Lebih mengelirukan apabila YB cuba menilai manfaat pelaburan berteknologi tinggi menggunakan ukuran lama iaitu bilangan pekerja semata-mata. Dalam ekonomi digital, nilai tidak diukur melalui kuantiti tenaga buruh tetapi melalui kualiti pekerjaan, tahap kemahiran dan kesan gandaan kepada sektor sokongan. Pusat data AI mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, merangsang sektor kejuruteraan, penyelenggaraan, keselamatan, ICT, tenaga hijau dan perkhidmatan profesional. Mengabaikan kesan ini menunjukkan kegagalan memahami bagaimana ekonomi moden berfungsi.

Kenyataan bahawa pelabur asing akan membawa masuk tenaga kerja luar secara besar-besaran juga bersifat prejudis dan tidak berlandaskan fakta peraturan negara. Semua projek pelaburan tertakluk kepada undang-undang imigresen, syarat pekerjaan tempatan dan kelulusan pihak berkuasa. Menimbulkan kebimbangan tanpa bukti hanya membuktikan bahawa YB sendiri tidak yakin dengan keupayaan institusi dan dasar negara yang kononnya beliau perjuangkan.

Cubaan menakut-nakutkan rakyat dengan isu bebanan elektrik pula mendedahkan kelemahan kefahaman terhadap proses kelulusan projek strategik. Tiada projek pusat data berskala besar boleh beroperasi tanpa penilaian teknikal dan kelulusan pihak utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad. Hakikatnya, projek sebegini lazimnya memacu naik taraf grid dan pelaburan infrastruktur tenaga, bukan merosakkannya. Menggunakan isu ini sebagai hujah politik hanyalah satu cubaan mengaburi rakyat dengan ketakutan tidak berasas.

Isu penggunaan air yang dibangkitkan pula sengaja diperbesar-besarkan dengan perbandingan tidak setara antara Melaka dan Johor. Masalah air Johor adalah isu tadbir urus sumber yang kompleks dan tidak boleh dipermudahkan dengan menyalahkan pusat data semata-mata. Tambahan pula, pusat data moden semakin menggunakan sistem penyejukan tertutup dan air industri bukan gred minuman. Mengaitkan projek di Jasin dengan krisis air negeri lain tanpa konteks adalah satu manipulasi naratif yang tidak bertanggungjawab.

Perbandingan dengan Singapura pula jelas mengelirukan rakyat. Singapura membekukan pusat data kerana kekangan tanah, tenaga dan kepadatan melampau bukan kerana pusat data tidak memberi manfaat ekonomi. Malaysia, termasuk Melaka, memiliki kelebihan struktur yang berbeza. Apa yang menjadi masalah kepada Singapura sebenarnya adalah peluang strategik kepada negeri ini, namun YB memilih untuk memutar belit fakta demi naratif politik sempit.

Persoalan sebenar yang perlu dijawab oleh YB Haji Bakri Jamaluddin ialah adakah beliau mahu Melaka bergerak ke hadapan sebagai pemain ekonomi digital atau terus terperangkap dalam ekonomi lama yang bergantung kepada sektor berintensif buruh dan nilai rendah? Menolak pelaburan strategik atas alasan dangkal bukanlah sikap berhati-hati tetapi tanda ketakutan terhadap perubahan atau mungkin takut kerajaan pimpinan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh semakin popular di mata rakyat?

Terbukti pelaburan lain yang dibawa oleh Datuk Seri Ab Rauf, antaranya seperti German Technology Park disambut baik dan menarik lebih ramai pelabur bukan sahaja daripada Jerman tapi juga Turki, Itali dan China. Adakah YB PAS ini tidak tahu perkembangan semasa tentang usaha dan hasil daripada kerja keras Ketua Menteri Melaka ini?

Kenyataan YB ini lebih mencerminkan kegagalan kepimpinan intelektual berbanding keprihatinan terhadap rakyat. Dalam dunia yang sedang bergerak pantas ke arah ekonomi digital dan AI, Melaka memerlukan kepimpinan yang berani, berfakta dan berpandangan jauh dan bukan politik dengki yang akhirnya hanya merugikan negeri dan rakyat sendiri.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)