“Kupang Tembaga”: Srikandi Bersatu Desak Mas Ermieyati Letak Jawatan

Melaka Digest
By -
0

Krisis kepimpinan dalam sayap Srikandi BERSATU kini berada pada tahap yang tidak boleh lagi dinafikan apabila Jawatankuasa Srikandi BERSATU Malaysia bersama Ketua-Ketua Srikandi Negeri secara kolektif mengambil pendirian jelas menarik balik kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada. Pendirian ini bukan bersifat individu atau terpencil, sebaliknya merupakan keputusan bersama yang mencerminkan keresahan akar umbi dan kepimpinan negeri terhadap hala tuju sayap wanita parti.


Jawatankuasa Srikandi dan majoriti Ketua Srikandi Negeri telah menegaskan bahawa segala kenyataan serta tindakan yang dibuat oleh Mas Ermieyati Samsudin tidak pernah mendapat endorsement, persetujuan mahupun sokongan Exco Srikandi Malaysia. Ini bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat organisasi untuk bercakap atau bertindak bagi pihak sayap Srikandi, sekali gus mewujudkan jurang kepercayaan yang serius antara kepimpinan pusat dengan struktur negeri.

Difahamkan, dalam satu pertemuan tertutup yang diadakan sebelum ini, beliau turut didesak supaya meletakkan jawatan susulan krisis keyakinan yang semakin memuncak. Desakan tersebut bukan lahir daripada sentimen politik sempit tetapi berpunca daripada kegagalan kepimpinan memelihara kesepaduan organisasi serta hilangnya kepercayaan dalaman yang menjadi asas kekuatan sesebuah sayap parti.

Persoalan yang perlu Mas Ermieyati jawab secara jujur ialah, apakah peranan sebenar yang masih tinggal apabila kuasa untuk bertindak dan membuat kenyataan telah dinafikan secara terbuka oleh Exco Srikandi sendiri? Dalam keadaan ini, sebarang kenyataan atau tindakan selepas ini tidak lagi boleh dianggap sebagai pendirian rasmi Jawatankuasa Srikandi BERSATU Malaysia, sebaliknya hanya bersifat peribadi dan tidak mewakili struktur organisasi parti.

Ini meletakkan beliau dalam satu kedudukan yang amat lemah dari sudut legitimasi politik dan organisasi. Tanpa sokongan Exco, tanpa kepercayaan Ketua-Ketua Negeri dan tanpa mandat untuk mewakili sayap parti, kedudukan tersebut ibarat “kupang tembaga” dalam organisasi sendiri, wujud secara fizikal tetapi tidak lagi bernilai dari sudut kuasa, mandat dan autoriti.

Menurut Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Tun Faisal, bahawa disiplin organisasi, legitimasi kepimpinan dan kepercayaan dalaman adalah asas kepada kekuatan parti. Mana-mana jawatan dalam parti bukan hak peribadi, sebaliknya amanah yang hanya sah selagi mendapat sokongan struktur dan ahli. Apabila kepercayaan itu telah hilang secara kolektif, maka kematangan politik menuntut satu keputusan yang bertanggungjawab demi menjaga maruah parti dan kestabilan organisasi.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)