Peluang Mas Ermieyati Jadi Calon Bersatu PRU16 Tipis

Melaka Digest
By -
0

Seramai 30 pemimpin Srikandi BERSATU secara kolektif menyatakan hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Ketua sayap itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. 

Mereka adalah 19 EXCO Srikandi BERSATU, sembilan Ketua Srikandi Negeri dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada sayap itu.

Menurut mereka dalam satu kenyataan bersama, semalam, keputusan itu dibuat susulan perkembangan semasa yang menunjukkan wujud kenyataan dan tindakan didakwa tidak selaras dengan Perlembagaan parti serta prinsip disiplin organisasi yang wajib dipatuhi oleh setiap pimpinan.

Malah, menurut kenyatan itu, kenyataan dan tindakan Mas Ermieyati didakwa tidak melalui musyawarah serta mandat platform organisasi sayap Srikandi.

"Perkara ini bukan saja menjejaskan kestabilan dalaman, malah berpotensi menghakis kepercayaan serta merencatkan kesatuan Srikandi pada semua peringkat.

"Sehubungan itu, kami menegaskan segala keputusan, kenyataan serta pendirian dibuat beliau (Mas Ermieyati) kebelakangan ini adalah atas kapasiti peribadinya semata-mata dan tidak mendapat sokongan serta persetujuan kami, EXCO Srikandi Malaysia mahupun majoriti Ketua Srikandi Negeri," menurut kenyataan itu lagi.

Sembilan Ketua Srikandi Negeri terbabit dalam kenyataan itu ialah Johor, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Terengganu dan Sarawak, manakala dua ADUN berkenaan ialah Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) serta Norhaslinda Zakaria (Pangkor).

Menurut kenyataan itu lagi, mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang boleh melemahkan organisasi.

"Kami telah menyelaras bersama Ketua Srikandi Negeri serta kepimpinan setempat dalam mengenal pasti bahagian yang terkesan, dan sedang giat melaksanakan proses pemulihan.

"Langkah sewajarnya juga sedang dan akan terus diambil selaras Perlembagaan parti bagi memastikan disiplin, kestabilan serta keutuhan perjuangan terus terpelihara.

"Perjuangan ini lebih besar daripada mana-mana individu. Srikandi akan terus berdiri teguh, berprinsip dan setia kepada perjuangan parti," katanya.

Melalui kenyataan itu, mereka turut menegaskan pendirian untuk kekal bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun ada usaha pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengurangkan sokongan mereka.

Sementara itu, Muhyiddin dalam hantaran melalui Facebook beliau pula kongsikan foto pertemuannya bersama barisan kepimpinan Srikandi BERSATU, kelmarin.

"Sesi pertemuan bersama kepimpinan Srikandi BERSATU Malaysia.

"Alhamdulillah. Terima kasih kerana terus memberikan sokongan kepada BERSATU," katanya dalam hantaran berkenaan, semalam.
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)