Pelancongan Bukan Gimik, Kritikan DAPSY Gagal Fahami Realiti Ekonomi Melaka

Melaka Digest
By -
0

Serangan Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Melaka, Cassel Krishnan, yang mendakwa Melaka terlalu bergantung kepada pelancongan sebenarnya mendedahkan satu kelemahan besar pembangkang terutama tahap pemahaman DAP mengenai ‘kitaran ekonomi domestik’.


Kegagalan memahami struktur ekonomi sebenar sebuah negeri kecil seperti Melaka. Retorik bahawa pelancongan hanyalah “gimik hujung minggu” mungkin sedap dijual secara politik tetapi ia longgar dari sudut fakta dan realiti ekonomi. Paling memalukan kenyataan Cassel Krishnan menggambarkan ceteknya ilmu pengurusan negeri yang beliau sendiri miliki.

Melaka bukan negeri perindustrian berat, bukan hab kewangan nasional dan tidak mempunyai kelebihan sumber asli seperti petroleum atau gas. Kekuatan Melaka sejak sekian lama ialah pelancongan warisan, budaya dan perkhidmatan yang membentuk ekosistem ekonomi menyeluruh.

Pelancongan di Melaka bukan sekadar acara atau angka kehadiran pelawat tetapi rantaian ekonomi yang menyokong ribuan peniaga kecil, pengusaha hotel dan inap desa, pengangkutan, makanan dan minuman, seni budaya, logistik, keselamatan serta peruncitan tempatan. Setiap pelawat membawa perbelanjaan langsung yang mengalir kepada rakyat, bukan kepada syarikat besar luar negeri dan atau kepada entiti tertentu.

Di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, pelancongan diletakkan sebagai nadi aliran tunai negeri, bukan kosmetik politik. Strategi pemasaran, penganjuran acara berskala besar dan penjenamaan antarabangsa bertujuan memastikan kemasukan pelawat konsisten sepanjang tahun.

Dalam ekonomi negeri, sektor inilah yang paling pantas menghasilkan kesan langsung kepada pendapatan rakyat dan hasil kerajaan negeri, sesuatu yang tidak boleh digantikan secara serta-merta oleh industri teknologi tinggi yang memerlukan modal besar, tenaga kerja khusus dan tempoh matang panjang.

Dakwaan bahawa kerajaan negeri hanya bergantung kepada pelancongan juga tidak tepat. Pentadbiran semasa turut memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor sokongan ekonomi seperti pembangunan PKS, perdagangan, logistik, perkhidmatan dan pelaburan berskala realistik selari dengan kelebihan lokasi Melaka di Selat Melaka. Pendekatan ini berasaskan prinsip ekonomi yang jelas iaitu membina ke atas kelebihan sedia ada dan bukan mengejar model negeri lain tanpa mengambil kira keupayaan sebenar. 
 
Malah Ketua Menteri bawa banyak pelaburan dengan pembangunan zon industri strategik yang akan menjana puluhan ribu peluang pekerjaan. Contohnya MCORP Hi-Tech Park, German Technology Park dan Elkay 2.0. Itu tak termasuk Melaka Inland Port yang sedang dibangunkan.

Isu penghijrahan graduan yang dibangkitkan DAPSY pula bukan masalah eksklusif Melaka. Hampir semua negeri berdepan cabaran sama kecuali Lembah Klang dan Pulau Pinang. Mengharapkan Melaka mencipta ribuan pekerjaan AI, kewangan global dan teknologi tinggi dalam masa singkat adalah tidak realistik dan bersifat populis. Hakikatnya, pelancongan moden hari ini turut membuka ruang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam pemasaran digital, pengurusan acara antarabangsa, teknologi hospitaliti, analitik data pelawat dan ekonomi kreatif jika sektor ini dimodenkan secara berperingkat.

Lebih penting, menuduh pelaburan infrastruktur bandar dan penambahbaikan ruang awam sebagai pembaziran juga mencerminkan kefahaman cetek terhadap ekonomi bandar pelancongan. Bandar yang tidak selesa untuk penduduk akhirnya gagal menarik pelawat jangka panjang. Apa yang dilakukan kerajaan negeri adalah usaha menjadikan Melaka bandar yang berfungsi untuk rakyat dan pelawat, bukan satu atau yang lain.

Kritikan DAPSY lebih bersifat retorik politik menjelang PRN berbanding analisis ekonomi yang berasaskan realiti. Melaka tidak boleh membina masa depan dengan memutuskan nadi ekonominya sendiri. Pelancongan bukan musuh rakyat, sebaliknya sumber rezeki ribuan keluarga dan asas kestabilan fiskal negeri. Soalannya bukan meninggalkan pelancongan tetapi bagaimana memodenkan dan mempelbagaikannya secara berhemah.

DAP perlu berhati-hati memilih isu kerana bukan sahaja menjerat leher sendiri tetapi mendedahkan kelemahan ketara keupayaan DAP untuk menguruskan negeri. Peniaga "Tionghoa" Melaka antara yang banyak menerima manfaat dari kebanjiran pelancung ke Melaka. Adakah DAP berniat untuk tutup ‘periuk nasi’ mereka?
 
Patutlah DAP hilang kesemua kerusi di Sabah, mereka gagal memahami bagaimana nak naikkan ekonomi bangsa sendiri? 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)