Di sebalik kenyataan rasmi yang berhati-hati dan bahasa politik yang berlapik, penganalisis politik tempatan melihat peralihan kuasa dalam PAS dan Perikatan Nasional (PN) bukan berlaku secara organik tetapi disusun rapi oleh satu tangan yang sama. Nama yang semakin jelas muncul sebagai arkitek utama kepada segala yang berlaku ialah Takiyuddin Hassan?
Naratif awam cuba menggambarkan PAS sebagai parti yang tidak diktator dan tidak gopoh dalam menentukan Ketua Pembangkang baharu susulan pemecatan Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Namun realitinya, setiap “penangguhan” dan “perbincangan lanjut” itu tampak lebih sebagai strategi masa dan bukan kebetulan.
Presiden PAS, Hadi Awang, secara terbuka mengakui bahawa PAS berminat untuk menggalas jawatan Ketua Pembangkang dan perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat luar biasa bersama pimpinan Bersatu. Beliau turut menyatakan bahawa Hamzah masih kekal sebagai Ketua Pembangkang buat masa ini, sementara penyusunan semula akan dibincangkan kemudian.
Kenyataan ini, pada zahirnya kelihatan sederhana dan inklusif. Namun mengapa Hamzah dikekalkan seketika dan mengapa PAS khususnya Takiyuddin tidak tergesa-gesa membuat pengumuman?
Sumber dalaman PN mendedahkan bahawa dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu, cadangan supaya Takiyuddin Hassan diangkat sebagai Ketua Pembangkang telah dikemukakan dan dipersetujui oleh Bersatu. Malah, cadangan tersebut difahamkan datang daripada Ketua Pemuda PN sendiri. Namun pengumuman itu “ditahan”, tidak dibuat serentak dengan pengumuman pelantikan Pengerusi PN.
Ini bukan kelewatan pentadbiran. Ini adalah pengurusan persepsi supaya golongan pro ulama politik tidak tersinggung apabila tiada calon dari mereka yang ditonjolkan. “Semuanya geng tanpa kopiah” kata penganalisis lagi.
Lebih penting, pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN menggantikan Muhyiddin Yassin juga dilihat sebagai sebahagian daripada pelan besar yang sama. Samsuri yang masih hijau di Parlimen diletakkan di posisi strategik untuk “diuji”, sementara kawalan sebenar ke atas jentera politik dan Parlimen berada di tangan pemain lama yang berpengalaman dan licik iaiti Takiyuddin?
Dalam kerangka ini, Hamzah tidak disingkirkan serta-merta, sebaliknya “disimpan sementara”. Kekal sebagai Ketua Pembangkang buat seketika untuk meredakan kejutan politik, menenangkan akar umbi Bersatu-PAS dan mengelakkan gambaran ‘rampasan kuasa’ terbuka. Apabila masa sesuai, peralihan akan berlaku dengan kemas, sah dan “dipersetujui bersama”.
Lebih menarik, kenyataan Hadi Awang yang bersetuju agar Hamzah dikekalkan buat sementara waktu menguatkan lagi khabar bahawa Presiden PAS kini dikawal rapi oleh ‘Geng 3 kepala tanpa kopiah’ iaitu kelompok strategis yang menguasai permainan kuasa sebenar. Istilah “Geng 3 kepala tanpa kopiah” bukan lagi bisik-bisik politik tetapi semakin dizahirkan melalui keputusan-keputusan kritikal parti.
Apa yang berlaku hari ini bukan sekadar perebutan jawatan Ketua Pembangkang. Ia adalah penstrukturan semula kuasa dalam PN, di mana Muhyiddin disisihkan secara berperingkat, Hamzah “direhatkan secara terhormat”, Samsuri dijadikan wajah baharu dan Takiyuddin Hassan muncul sebagai pengendali sebenar dari belakang tabir?
"Geng Berseban, Geng Kopiah" sedang ditolak beransur-ansur di dalam PAS?
