![]() |
| sumber |
Kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berhubung arahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya semua “kuil haram” dirobohkan, membuka ruang tafsiran yang luas dan sensitif. Persoalan utama kini bukan sekadar apa yang dikatakan tetapi apa yang cuba disampaikan secara tersirat serta ke mana arah naratif ini sedang dibawa.
Secara zahir, Annuar Musa menampilkan dirinya sebagai suara sederhana yang mengingatkan kerajaan agar bertindak lebih “bijaksana”, berunding dan menjaga keharmonian agama. Beliau mengimbas pengalamannya ketika menerajui Wilayah Persekutuan, mendakwa isu rumah ibadat tidak sah pernah ditangani melalui rundingan antara PBT dan pihak terlibat tanpa pendekatan keras. Nada ini, pada permukaan, tampak rasional dan berhemah.
Namun, apabila kenyataan tersebut diletakkan dalam konteks politik semasa, mesejnya menjadi lebih kompleks malah berpotensi berbahaya.
Dengan menyifatkan arahan Perdana Menteri sebagai “membimbangkan”, Annuar bukan sekadar mengulas pendekatan pentadbiran tetapi secara tidak langsung membingkai tindakan penguatkuasaan undang-undang sebagai ancaman kepada keharmonian agama. Di sinilah persoalan besar timbul, adakah isu pembinaan haram sedang diangkat daripada soal undang-undang kepada isu politik dan sentimen?
Lebih membimbangkan, kenyataan ini boleh ditafsirkan seolah-olah memberi justifikasi moral terhadap kewujudan pembinaan haram khususnya rumah ibadat atas alasan sensitiviti dan keharmonian. Walaupun Annuar tidak secara eksplisit menyokong pembinaan tanpa kelulusan, naratif yang dibina tetapi ianya mengaburkan garis pemisah antara empati dan pematuhan undang-undang.
Dalam negara berperlembagaan dan berteraskan kedaulatan undang-undang, status “haram” bukan label emosi tetapi ia adalah fakta perundangan. Apabila seorang pemimpin kanan parti Islam seperti PAS mengeluarkan kenyataan yang kelihatan lebih mempertikaikan penguatkuasaan berbanding pelanggaran itu sendiri, persepsi yang terhasil amat signifikan. Adakah PAS kini dilihat lebih selesa melunakkan isu pelanggaran undang-undang demi menjaga sentimen politik tertentu?
Di sinilah muncul dakwaan bahawa isu ini sedang dipolitikkan. Kenyataan Annuar Musa bukan sekadar nasihat pentadbiran tetapi berpotensi dibaca sebagai kritikan politik terhadap kerajaan Madani sambil meletakkan PAS di posisi “pembela keharmonian” walaupun pada masa sama, ia berisiko dilihat menormalisasikan pembinaan haram.
Ironinya, PAS selama ini sering menekankan soal hukum, disiplin dan tatakelola. Namun dalam isu ini, ketegasan terhadap undang-undang kelihatan kabur. Jika pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan perlu ditangani secara rundingan, persoalan seterusnya ialah, adakah prinsip sama akan digunakan untuk semua pembinaan haram lain seperti rumah, kilang atau struktur komersial? Atau keistimewaan ini hanya muncul apabila isu agama dan politik bertembung?
Keharmonian beragama tidak boleh dipelihara dengan mengorbankan prinsip undang-undang. Rundingan boleh menjadi mekanisme penyelesaian tetapi ia tidak boleh dijadikan alasan untuk membekukan penguatkuasaan. Jika tidak, mesej yang sampai kepada rakyat ialah: pelanggaran boleh dirunding dan undang-undang boleh dilentur mengikut tekanan sentimen.
Kenyataan Annuar Musa mungkin diniatkan sebagai peringatan agar kerajaan bertindak berhemah. Namun dalam iklim politik yang tegang ia turut membuka ruang tafsiran bahawa isu pembinaan haram sedang dipolitikkan dan PAS secara tidak langsung dilihat mengambil posisi yang samar terhadap pelanggaran undang-undang.
