Bersatu Bahagian Beluran Hilang Kepercayaan Terhadap Muhyiddin

Melaka Digest
By -
0


KENYATAAN AJK BAHAGIAN BERSATU BELURAN

Kami dengan ini menyatakan bahawa kami telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY).

Parti ini pada asalnya diasaskan atas semangat perjuangan untuk mempertahankan kepentingan rakyat, memperjuangkan integriti dalam politik serta membela nasib Bumiputera khususnya di Sabah. Namun apa yang berlaku kebelakangan ini menunjukkan bahawa parti ini semakin jauh daripada matlamat asal tersebut.

Sebaliknya, parti kini dilihat lebih tertumpu kepada agenda peribadi untuk mengangkat Presiden sebagai “poster boy” dan calon Perdana Menteri, sehingga segala keputusan dan tindakan dalam parti dilihat berpaksikan kepentingan tersebut. Budaya perbezaan pandangan tidak lagi diraikan, malah dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan kepimpinan.

Kami juga memandang serius tindakan pemecatan dan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin utama parti, termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, serta tindakan terkini terhadap Dr Ronald Kiandee dan Datuk Wira Mas Ermieyati. Tindakan ini jelas memperlihatkan bahawa lembaga disiplin parti telah diperalatkan sebagai alat politik untuk menyingkirkan mereka yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan tertinggi.

Amalan ini bukan sahaja menjejaskan prinsip keadilan dalam parti, malah menghakis kepercayaan ahli terhadap ketelusan dan integriti proses disiplin yang sepatutnya bebas daripada pengaruh politik.

Lebih membimbangkan, dalam keghairahan mengejar agenda politik sempit ini, isu-isu perjuangan rakyat Sabah, khususnya Bumiputera Sabah, semakin diketepikan. Perjuangan yang sepatutnya menjadi teras kepada kehadiran parti di Sabah kini tidak lagi diberikan keutamaan yang sewajarnya.

Sebagai pemimpin akar umbi yang bertanggungjawab kepada ahli-ahli di peringkat bahagian serta masyarakat yang kami wakili, kami tidak boleh terus berdiam diri melihat parti ini menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Sehubungan itu, setelah mempertimbangkan keadaan ini dengan penuh tanggungjawab dan rasa berat hati, kami kesemua Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Beluran dengan ini mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan parti serta meletakkan keahlian kami dalam Parti Bersatu dengan serta-merta.

Keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah, namun ia diambil demi mempertahankan prinsip perjuangan dan maruah politik yang kami pegang selama ini.

Kami percaya perjuangan untuk rakyat, khususnya Bumiputera Sabah, mesti diteruskan atas landasan yang lebih jujur, berprinsip dan bebas daripada kepentingan peribadi mana-mana individu.

Sekian.

Hamdan Tarawie

Setiausaha Bahagian Beluran
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)