Retorik terbaru Presiden PAS, Abdul Hadi Awang terhadap UMNO menimbulkan tandatanya di kalangan pemerhati politik, adakah serangan berterusan terhadap UMNO sebenarnya mencerminkan kegusaran PAS sendiri terhadap perubahan sentimen pengundi Melayu?
Dalam beberapa kenyataan mutakhir, Presiden PAS dilihat menggunakan bahasa yang semakin keras ketika mengulas gagasan “Rumah Bangsa” yang dikaitkan dengan UMNO.
Mula-mula beliau menyindir bahawa UMNO kononnya “terkena penyakit waswas daripada bisikan syaitan”.
Selepas itu, beliau sekali lagi menyerang dengan menyatakan bahawa “Rumah Bangsa tidak selamat kerana banyak hantu”.
Terbaru, retorik tersebut diteruskan dengan dakwaan bahawa “Rumah Bangsa tidak berteraskan Islam”.
Jika dilihat secara berurutan, nada yang digunakan bukan sekadar kritikan politik biasa, tetapi serangan berantai yang cuba menanam persepsi negatif terhadap UMNO di kalangan penyokong PAS sendiri.
Namun bagi penganalisis politik, serangan yang terlalu kerap terhadap musuh politik sering kali membawa makna yang berbeza dan ia boleh juga mencerminkan kebimbangan terhadap kebangkitan pihak yang diserang.
Dalam konteks ini, mengapa PAS dilihat begitu bersungguh-sungguh menyerang UMNO pada saat wacana penyatuan Melayu kembali diperkatakan?
Sesetengah pemerhati berpendapat bahawa PAS sebenarnya sedang berdepan satu risiko politik yang besar. Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15, sebahagian besar kemenangan PAS berlaku hasil limpahan undi penyokong UMNO yang beralih kepada gabungan Perikatan Nasional termasuk rasuah pengundi secara besar-besaran?
Fenomena “undi protes” daripada penyokong UMNO ketika itu juga membuka ruang kepada PAS untuk memenangi banyak kerusi, khususnya di kawasan majoriti Melayu.
Namun keadaan politik sentiasa berubah.
Jika pengundi tradisional UMNO yang pernah memberi undi kepada PAS atau Perikatan Nasional dalam pilihan raya lalu kembali kepada parti asal mereka, keseimbangan kerusi yang dimenangi PAS boleh berubah secara drastik.
Itulah sebabnya sesetengah penganalisis melihat retorik keras terhadap UMNO sebagai usaha untuk mengekalkan sentimen curiga dalam kalangan penyokong PAS terhadap parti tersebut.
Dengan kata lain, serangan politik ini mungkin bukan sekadar bertujuan menyerang UMNO tetapi juga untuk memastikan penyokong PAS terus melihat UMNO sebagai musuh yang tidak boleh didekati.
Strategi sebegini bukanlah sesuatu yang baharu dalam politik. Dalam banyak keadaan, parti yang paling lantang menyerang lawannya sebenarnya adalah parti yang paling bimbang kehilangan sokongan.
Jika benar analisis ini tepat, maka retorik keras terhadap UMNO boleh ditafsirkan sebagai usaha Presiden PAS untuk mengajak ahli dan penyokongnya berkongsi kebimbangan yang sama iaitu takut bahawa pengundi Melayu yang pernah menyokong PAS akan kembali semula kepada UMNO.
Sekiranya trend tersebut benar-benar berlaku pada pilihan raya akan datang, implikasinya cukup besar. PAS yang sebelum ini menikmati kemenangan besar berpotensi kehilangan sejumlah kerusi yang dimenanginya.
Hadi menggunakan strategi menyerang UMNO secara berterusan benar-benar mengukuhkan kedudukan PAS atau sebaliknya mendedahkan kegusaran sebenar parti itu terhadap perubahan arus politik Melayu.
