Ketika Presiden PAS, Abdul Hadi Awang lantang mengkritik konsep “Rumah Bangsa” dengan sindiran bahawa rumah tersebut “tidak selamat kerana banyak hantu”, keadaan dalam blok pembangkang sendiri kelihatan masih jauh dari stabil.
Sehingga kini, isu pelantikan Ketua Pembangkang baharu di Dewan Rakyat masih belum dimuktamadkan walaupun perbincangan telah berlangsung dalam kalangan kepimpinan parti.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat parti, namun keputusan muktamad mengenai calon masih belum dibuat.
Menurut beliau, beberapa nama telah dikemukakan untuk dipertimbangkan, namun kepimpinan parti mengambil pendekatan berhati-hati sebelum memuktamadkan pilihan.
“Setakat ini belum ada apa-apa lagi sehingga habis persidangan Parlimen baru-baru ini. Mesyuarat sudah ada tetapi kita kekal begitu dan tidak diputuskan. Ada beberapa orang calon,” katanya.
“Dalam kita bercakap soal pembangkang, apa yang penting kepada kita adalah jumlah anggota pembangkang yang ramai. Kita tidak mahu berlaku apa-apa keadaan yang menyebabkan ahli kita makin kurang.
“Di Parlimen ia membabitkan pengundian dan kita tidak mahu berlaku apa-apa dalam parti anggota Perikatan Nasional menyebabkan ahli berkurang,” jelasnya.
Mengulas spekulasi bahawa beliau antara calon yang bakal menggantikan penyandang semasa, Takiyuddin menyifatkan perkara itu sebagai ura-ura biasa dalam politik.
“Orang lain pun ramai lagi, ada Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Apa pun kita jangka perkara ini diputuskan sebelum persidangan Parlimen akan datang,” katanya.
Buat masa ini, jawatan Ketua Pembangkang masih disandang oleh Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin yang juga bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Sebarang pelantikan baharu perlu dipersetujui oleh semua parti komponen Perikatan Nasional melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi gabungan tersebut.
Bagi pemerhati politik, ketika PAS begitu agresif menyerang pihak lawan di luar, mengapa urusan kepimpinan dalam blok pembangkang sendiri masih belum dapat dimuktamadkan?
Dalam politik, kadang-kadang rumah yang kelihatan tenang dari luar sebenarnya masih belum selesai membersihkan “hantu” di dalamnya.
