Semalam, saya membaca tulisan Minda Presiden PAS dengan rasa yang amat dukacita. Dukacita bukan kerana beliau berbeza pandangan… Itu lumrah politik.
Tetapi kecewa kerana usaha YAB Presiden UMNO untuk memperkasakan parti ini sebagai Rumah Bangsa dibaca seolah-olah ianya satu ancaman kepada Islam.
Sedangkan niat asalnya ialah usaha menyatukan politik dalaman UMNO serta mencari titik-titik pertemuan dalam perkara yang menyentuh kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.
Di sinilah kita perlu berlaku adil. Menuduh bahawa usaha ini berteraskan “kebangsaan tanpa Islam” adalah tuduhan yang terlalu berat.
𝗣𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸 𝗠𝗲𝗱𝗮𝗻 𝗧𝗮𝗸𝗳𝗶𝗿𝗶?
Bila perbezaan strategi politik mula dibingkaikan dengan bahasa “kawan soleh”, “hantu”, “Bani Israil”, “syaitan” dan seumpamanya, kita sebenarnya sedang membawa wacana politik ke wilayah yang berbahaya.
Politik dalam negara demokrasi majmuk menuntut ijtihad siyasah, bukan penghukuman akidah ke atas lawan politik.
Kita boleh kata tidak setuju. Kita boleh kata salah strategi. Tetapi apabila lawan politik disamakan dengan simbol-simbol kefasikan dan kesesatan, itu bukan lagi hujah, itu sudah menjadi bahasa pelabelan yang merosakkan adabul ikhtilaf.
𝗣𝗔𝗦 𝗦𝗲𝗻𝗱𝗶𝗿𝗶 𝗣𝗲𝗿𝗻𝗮𝗵 𝗕𝗲𝗸𝗲𝗿𝗷𝗮𝘀𝗮𝗺𝗮 𝗠𝗲𝗿𝗲𝗻𝘁𝗮𝘀 𝗜𝗱𝗲𝗼𝗹𝗼𝗴𝗶
Kalau ukuran “bersahabat” dengan parti lain dijadikan neraca iman dan istiqamah, maka sejarah PAS sendiri tidak sunyi daripada kerjasama dengan DAP, PKR dan pelbagai bentuk tahaluf siyasi.
Maka janganlah bila orang lain bermuafakat atas dasar kenegaraan, ia terus dilihat sebagai pengkhianatan kepada Islam. Tetapi bila diri sendiri melakukannya, ia dinamakan hikmah politik. Rakyat boleh menerima perbezaan strategi dan pendekatan. Tetapi rakyat sukar menerima double standard yang dibungkus dengan dalil berkepentingan.
𝗠𝗲𝗻𝗷𝗮𝗴𝗮 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗝𝘂𝗴𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘂𝗻𝘁𝘂𝘁 𝗠𝗲𝗻𝗷𝗮𝗴𝗮 𝗡𝗲𝗴𝗮𝗿𝗮
Dalam realiti Malaysia hari ini, dari dahulu lagi UMNO berusaha menjaga maslahat rakyat, kestabilan negara, keamanan antara kaum, kedudukan Raja-Raja Melayu dan kelangsungan institusi yang dilihat sebagai sebahagian daripada amanah siyāsah.
Islam bukan hanya slogan “Membangun Bersama Islam”, tetapi juga soal bagaimana kita mengurus maslahah ammah (kepentingan umum) serta mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Jika setiap usaha UMNO mencari persefahaman terus dituduh sebagai sesat, liberal atau terdedah kepada bisikan syaitan dan sebagainya, maka sampai bila umat Islam mahu dipenjara dalam politik kebencian dan saling bermusuhan? Tepuk dada tanyalah iman…
𝗥𝘂𝗺𝗮𝗵 𝗕𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮 𝗣𝗲𝗹𝗼𝗽𝗼𝗿 𝗠𝘂𝘇𝗮𝗸𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗗𝗮𝗻 𝗠𝘂𝘀𝘆𝗮𝘄𝗮𝗿𝗮𝗵
UMNO Rumah Bangsa tidak memaksa sesiapa meninggalkan prinsip. Ia tidak meminta PAS tunduk kepada UMNO. Bukan niat UMNO mahu jadi Abang Besar walaupun kebanyakan parti-parti yang ada lahirnya dari Rahim UMNO.
Rumah Bangsa ini hanya membuka ruang bahawa dalam isu-isu besar yang bersentuhan Islam, Melayu dan Bumiputera, kita perlu ada meja bersama untuk bermuzakarah.
Kalau meja muzakarah yang diinisiatifkan UMNO pada minggu lalu pun sudah ditolak dengan bahasa yang begitu keras, maka mesej yang ingin PAS sampaikan adalah bukan sahaja mereka tidak mahu titik temu, tetapi PAS mahu semua orang menerima hanya satu tafsiran politik mereka sahaja.
Yang tidak bersama dikira menyimpang dan tersasar dari ruh Islam… Adakah ini politik Islam??? Adakah terkeluar Islam apabila tidak bersama parti Islam??? Adakah Islam hanya eksklusif milik parti Islam???
𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗗𝗶𝗷𝗮𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗺𝗽𝗮𝗱𝗮𝗻 𝗨𝗻𝘁𝘂𝗸 𝗠𝗲𝗺𝘂𝘁𝘂𝘀𝗸𝗮𝗻
Sepatutnya bahasa seorang pemimpin Islam yang bertaraf ulama’ ialah bahasa yang merapatkan saf, menyejukkan keadaan dan mendidik umat dengan hikmah terutamanya dalam bulan Ramadhan.
Tegas boleh, berprinsip mesti. Tetapi bila setiap perbezaan dibaca melalui lensa “kufur kepada sebahagian kitab”, “rumah dimasuki hantu”, “syaitan” dan seumpamanya, maka yang rosak bukan sahaja hubungan politik tetapi juga bahasa dakwah itu sendiri.
Saya tak pasti apakah tulisan itu benar-benar karangan Presiden PAS sendiri atau nama beliau ditunggangi oleh mereka yang menyediakannya untuk melempiaskan kegeraman kerana ikhtiar Rumah Bangsa ini dilihat mula mendapat tempat.
Islam itu tinggi. Jangan direndahkan menjadi senjata untuk menembak lawan politik bahkan lebih dahsyat memutuskan ukhwah Islamiyyah yang sepatutnya menjadi keutamaan.
𝗣𝗲𝗻𝘂𝘁𝘂𝗽
Rumah Bangsa bukan rumah tanpa dinding. Rumah Bangsa ialah usaha membina semula UMNO dan melalui Muzakarah serta Musyawarah Nasional merintis ruang pertemuan kita yang berbeza hanya kerana politik dapat bersama seketika memikirkan masa depan ummah setelah terlalu lama umat ini dibiasakan dengan tembok kebencian.
Kalau ada yang tidak setuju, berhujahlah. Kalau ada yang ragu, berbahaslah. Tetapi jangan sampai perbezaan strategi politik dijadikan alasan untuk memonopoli Islam dan mempersoalkan keikhlasan orang lain.
Kerana pada akhirnya, Islam tidak akan menjadi besar dengan tuduh-menuduh, label melabel tetapi dengan hikmah, adab dan kebesaran jiwa.
#RumahBangsa #MusyawarahNasional
Sumber: Afif Farhi Othman
