Calon PM: Tiada Jaminan Samsuri Sebagai Calon - Muhyiddin

Melaka Digest
By -
0

Pelantikan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bukan jaminan Menteri Besar Terengganu itu dijadikan sebagai calon Perdana Menteri.


Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata isu calon pemimpin yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri jika PN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak adalah perkara berbeza dengan lantikan pengerusi gabungan itu.

Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, soal calon Perdana Menteri daripada PN juga belum dibincangkan lagi bersama parti rakan komponen, PAS.

"Ini lantikan sebagai Pengerusi PN bukan calon Perdana Menteri. Saya memetik kenyataan Tuan Ibrahim (Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang ada sebut bahawa ini untuk Pengerusi PN.

"Kalau hendak bercakap soal calon bagi Perdana Menteri itu isu lain.

"Itu tidak dibincangkan lagi... bila berbangkit mengenainya pernah saya dicalonkan (sebagai Perdana Menteri) pimpinan PAS kata, tidak... kita tidak mahu bincangkan soal itu lagi... jadi, saya fikir pendirian itu masih kekal," katanya kepada media di Ibu Pejabat BERSATU, kelmarin.

Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada 22 Februari lalu, memutuskan Ahmad Samsuri dilantik sebagai Pengerusi PN baharu menggantikan Muhyiddin susulan peletakan jawatannya pada 30 Disember 2025.

Muhyiddin berkata, pihaknya melihat jawatan pengerusi PN perlu ditampilkan daripada pemimpin yang lebih senior dengan pendirian BERSATU sendiri sebelum ini juga mahu presiden parti yang diangkat mentadbir gabungan itu.

Beliau berkata, pihaknya menghormati ketegasan PAS yang mahu mengangkat Ahmad Samsuri mengetuai gabungan itu.

"Pandangan parti sewajarnya tempat itu diisi presiden, tetapi perlembagaan PN tiada syarat itu, ia cuma kata... kalau hendak jadi pengerusi PN kena lebih senior, takkan junior," katanya.

Tak percaya Hamzah

Sementara itu, Muhyiddin tidak akan bekerjasama dengan bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam tempoh terdekat ini kerana beliau sudah tidak mempercayai ahli politik itu.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau sendiri akan menolak jika Hamzah bersama parti baharu mahu menyertai PN.

Ini kerana katanya, hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen.

"Kalau dia hendak cari haluan, itu hal dialah. Saya tak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN... saya akan jawab tidak boleh sebab once bitten twice shy.

"Orang yang sudah buat berlaku macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak. Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusiakan. Tidak semudah itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin menegaskan beliau tidak akan menongkat langit dengan mentadbir BERSATU selama-lamanya dan bersedia menyerahkan kepada pimpinan muda, tidak berapa lama lagi.

Beliau berkata, pihaknya melihat BERSATU mempunyai barisan pelapis yang mencukupi termasuk Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ketua ARMADA, Muhammad Hilman Idham dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Afif Bahardin.
 
Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)