Sekali baca posting Mas Ermieyati Samsudin, dari ayat pertama lagi “vibe” dia sudah jelas, bila diesel naik, maka sasaran utama mesti seorang Anwar Ibrahim dan kerajaan Madani.
Naratifnya mudah. Diesel naik 80 sen, maka harga barang akan melambung, rakyat susah, raya bakal suram dan semuanya kononnya berpunca daripada kerajaan hari ini.
Logik politiknya ringkas, kalau ada apa-apa berlaku, salahkan sahaja kerajaan.
Mas Ermieyati bukan orang baru dalam kerajaan. Beliau pernah menjadi Timbalan Menteri. Sepatutnya perkara asas dalam sistem subsidi negara bukanlah sesuatu yang asing.
Contohnya dalam sektor logistik.
Lori yang membawa barangan asas di Malaysia sebenarnya menggunakan sistem fleet card diesel bersubsidi. Ini bermakna syarikat logistik yang mengangkut beras, ayam, minyak masak, sayur dan barangan keperluan lain masih mengisi diesel pada harga subsidi yang dikawal kerajaan.
Dengan kata lain, walaupun berlaku pelarasan harga diesel, rantaian bekalan barangan asas tidak terkesan secara langsung kerana mekanisme subsidi itu memang diwujudkan untuk melindungi kos pengangkutan makanan.
Kalau ada harga yang naik sekalipun, kebiasaannya melibatkan barang bukan keperluan utama.
Itu satu perkara. Perkara kedua pula berkait dengan realiti dunia.
Harga minyak global ketika ini tidak stabil kerana ketegangan geopolitik di Timur Tengah, termasuk risiko terhadap laluan perdagangan minyak dunia di Strait of Hormuz.
Jadi, adakah Kerajaan Pusat yang menutup Selat Hormuz?
Malaysia hanyalah pengeluar minyak pada skala sederhana. Harga minyak dunia bergerak mengikut geopolitik global iaitu faktor konflik, sekatan, dan ketegangan antarabangsa bukannya mengikut “mood” kerajaan di Putrajaya.
Dalam masa yang sama, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 petrol pada RM1.99 seliter.
Bayangkan jika harga itu dilepaskan sepenuhnya kepada pasaran dunia. Tidak mustahil rakyat sudah membayar lebih RM3 seliter hari ini.
Jadi kalau tidak mahu mengucapkan terima kasih, itu hak masing-masing.
Namun agak keterlaluan jika setiap perkembangan global mahu dijadikan peluru politik untuk menyerang kerajaan.
Kadang-kadang memang menghairankan. Bila kerajaan menyalurkan bantuan, pembangkang sunyi pula termasuklah Mas Ermieyati.
Bila berlaku sedikit pergolakan global terus dijadikan bahan kempen dan Mas Ermieyati gigih menyalurkan gambaran yang salah.
Sedangkan rakyat hari ini tidak lagi menilai politik dengan cara lama. Mereka masih boleh membezakan antara kritikan yang jujur dengan kritikan yang sekadar mencari salah dan modal kempen politik kotor.

