Perawi Yang Semakin Usia Lanjut Akan “Ditinggalkan”

Melaka Digest
By -
0


USIA & KESIHATAN ADAKALANYA BERPERANAN MENENTUKAN KEMATANGAN & KETEPATAN SESUATU KENYATAAN

Al Imam Ibnu Solah (w.643H) menukilkan:

ربيعة الرأي بن أبي عبد الرحمن؛ أستاذ مالك : قيل : إنه تغير في آخر عمره ، وترك الاعتماد عليه لذلك

Maksudnya:

Rabi‘ah al-Ra’y bin Abi ‘Abd al-Rahman, guru kepada Malik ibn Anas: Dikatakan bahawa beliau mengalami perubahan (kelemahan ingatan) pada akhir hayatnya, dan oleh sebab itu sebahagian ulama tidak lagi bergantung kepada riwayatnya. (Lihat: Ulum Al Hadis, oleh Ibnu Solah, ms 395)

RUMUSAN: 

1. Kadangkala dalam menilai sesuatu pandangan atau kenyataan ilmiah, faktor usia dan keadaan seseorang pada tahap tertentu dalam hidupnya memainkan peranan yang sangat besar. Dalam tradisi keilmuan Islam sendiri, para ulama hadis amat teliti dalam perkara ini. Mereka bukan sahaja menilai kejujuran dan keilmuan seseorang perawi, bahkan turut meneliti keadaan seseorang pada fasa akhir hayatnya.

2. Sebagai contoh, dalam kitab-kitab rijal perawi hadis disebut bahawa Rabi’ah al-Ra’y, seorang faqih besar Madinah dan guru kepada Malik ibn Anas, pernah dinyatakan oleh sebahagian ulama mengalami perubahan pada akhir usianya (تغير في آخر عمره). Ini menunjukkan betapa telitinya tradisi keilmuan Islam menilai sesuatu pandangan dengan mengambil kira keadaan dan fasa kehidupan seseorang. 

3. Lebih penting, tokoh yang disebut ini bukanlah individu biasa; beliau seorang ulama besar yang diiktiraf keilmuannya. Bukan penunggang agama, dan jauh sekali seorang ahli politik; tetapi seorang ilmuwan sejati yang hidupnya didedikasikan untuk ilmu dan agama.

4. Namun, para ahli hadis lebih berhati-hati terhadap riwayat atau pandangan yang dikaitkan dengan beliau pada tempoh tersebut. Perhatian terhadap faktor usia ini BUKAN bertujuan merendahkan kedudukan tokoh tersebut, tetapi untuk memastikan ketepatan ilmu dan kewajaran sesuatu kenyataan.

5. Hakikatnya, usia yang lanjut kadangkala boleh mempengaruhi kekuatan ingatan, ketajaman analisis, atau keseimbangan pertimbangan seseorang. Oleh itu, para ulama sejak dahulu telah meletakkan satu disiplin yang sangat teliti dalam menilai sumber ilmu; termasuk mempertimbangkan masa, keadaan dan fasa kehidupan seseorang ketika sesuatu pandangan itu diungkapkan.

6. Daripada sudut yang lebih luas, hal ini mengajar kita satu sikap yang penting dalam kehidupan: setiap pandangan perlu dilihat dalam konteksnya. Kadangkala sesuatu kenyataan bukanlah mencerminkan keseluruhan pemikiran seseorang sepanjang hidupnya, tetapi mungkin terikat dengan keadaan tertentu, termasuk faktor usia dan perubahan keadaan diri. Sikap yang adil ialah menilai seseorang secara menyeluruh, dengan mengambil kira latar masa, keadaan, dan perkembangan kehidupannya.

Selamat bertamu di sepuluh malam terakhir Ramadan. Semoga Allah memberi kita kesempatan menghidupkannya dengan ibadah dan dipilih untuk merasai kemuliaan malam Lailatul Qadar serta menerima segala amal dan keampunan-Nya.

*Sama-sama menjaga lisan di Ramadhan yg mulia.

Dr Fathul Bari

Ketua UMNO Bahagian Kangar



Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)