Kepimpinan Armada di Bahagian Teluk Intan membuat laporan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan parti dalam pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) baharu.
Bekas Ketua Armada Teluk Intan, Muhammad Munawar Biran berkata laporan tersebut dibuat oleh Timbalan Ketua Bahagian bersama barisan Jawatankuasa Bahagian bagi memohon siasatan di bawah Akta Pertubuhan 1966 terhadap kemungkinan berlakunya pelanggaran tatakelola organisasi.
Menurutnya, pelantikan Ketua Bahagian (Penaja) itu didakwa dibuat tanpa pengetahuan Timbalan Ketua Bahagian serta jawatankuasa yang dipilih secara sah melalui pemilihan parti di peringkat bahagian.
Beliau berkata, berdasarkan amalan organisasi dan prinsip pentadbiran parti, jawatan Ketua Bahagian sepatutnya dipangku oleh Timbalan Ketua Bahagian selepas pemecatan ketua bahagian terdahulu, selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Bahagian.
“Namun secara tiba-tiba seorang individu dilantik sebagai Ketua Bahagian (Penaja) walaupun didakwa tidak mempunyai sokongan kukuh di peringkat bahagian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Munawar berkata perkara tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai ketelusan serta integriti proses membuat keputusan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menegaskan laporan kepada ROS dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan pertubuhan serta penyalahgunaan kuasa dalam struktur pentadbiran parti.
Dalam perkembangan sama, Munawar turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Armada Teluk Intan serta keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta atas alasan prinsip dan integriti perjuangan.
Sumber
