Penyusunan semula barisan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang baharu diumumkan dilihat sebagai langkah bukan memperkukuh gabungan tersebut sebaliknya senarai pelantikan yang diumumkan, terdapat satu gambaran politik yang sukar untuk dinafikan iaitu pengaruh PAS dalam struktur PN dilihat semakin mengukuh atau PAS ingin dilihat sebagai “Abang Besar” dalam PN.
Pengumuman oleh Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, menyaksikan Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN satu jawatan yang cukup strategik dalam menentukan hala tuju pentadbiran dan operasi gabungan tersebut.
Jawatan Bendahari Agung pula diberikan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Jika diperhatikan secara keseluruhan, kedudukan ini memberikan PAS kawalan terhadap beberapa posisi penting yang berkait rapat dengan pengurusan organisasi dan sumber politik dalam PN.
Dalam masa yang sama, beberapa tokoh lain turut mengisi barisan kepimpinan baharu. Antaranya Annuar Musa yang dilantik sebagai Ketua Penerangan PN, manakala bekas Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin diberi tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya. Radzi adalah orang kanan Muhyiddin.
Bagi jawatan Timbalan Setiausaha Agung pula, tiga wakil parti komponen dilantik iaitu Azmin Ali dari BERSATU, Wong Chia Zhen dari Parti Gerakan Rakyat Malaysia serta Sivakumar Krishnan dari Malaysian Indian People's Party (MIPP).
Sementara itu, Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi bersama beberapa pemimpin lain termasuk Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden MIPP Punithan Paramsiven serta Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man.
Sekilas pandang, penyusunan ini mungkin kelihatan seimbang antara parti-parti komponen. Namun bagi pemerhati politik, satu perkara yang semakin jelas ialah bagaimana PAS dilihat semakin menempatkan tokoh-tokohnya di posisi strategik dalam struktur PN.
Dalam masa yang sama, kem yang sebelum ini dilihat rapat dengan Timbalan Presiden BERSATU, Hamzah Zainudin, kelihatan tidak lagi mendominasi kedudukan penting seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.
Keadaan ini menimbulkan persoalan, adakah PN kini sedang melalui proses perubahan keseimbangan kuasa daripada BERSATU kepada PAS?
Jika trend ini berterusan, tidak mustahil gabungan yang pada awalnya sering dilihat dipacu oleh BERSATU akhirnya semakin bergerak di bawah pengaruh PAS.
