Bekas Timbalan Presiden BERSATU, Dato' Seri Hamzah Zainudin mendakwa kebanyakan Jawatankuasa Penaja BERSATU Bahagian yang sebelum ini menyaksikan pengunduran ahli jawatankuasa mempunyai kaitan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya dimaklumkan majoritinya datang daripada PKR dan saya melihat seolah-olah ada usaha untuk membawa BERSATU lebih dekat dengan Pakatan Harapan.
"Kalau saya dipecat kerana berjumpa dengan Presiden UMNO, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimana pula dengan mereka yang secara terbuka mahu bersama dengan (Dato' Seri) Anwar Ibrahim?" soalnya.
Ahli Parlimen Larut itu berkata maklumat berkenaan diperoleh daripada rakan parti di seluruh negara selepas pembentukan bahagian penaja dilakukan.
Beliau mengulangi seruan agar kepimpinan serta penyokong parti melakukan muhasabah diri sebagai langkah awal untuk memperkukuh perjuangan politik.
"Sebab itu saya minta rakan-rakan, dalam 10 malam terakhir (Ramadan) ini supaya bertaubat dan bermuhasabah diri bagi memastikan kita memperbaiki diri terlebih dahulu," katanya.
Sumber: Berita Harian
