Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan tidak akan kembali kepada UMNO meskipun ada pelawaan secara terbuka daripada parti itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Ahli Parlimen Larut itu bagaimanapun tidak menolak untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam menjayakan agenda Reset yang dibawanya.
"Tak payah masuk (UMNO). Banyak parti yang bersama saya, jadi saya tengoklah macam mana untuk masa depan rakyat.
"Yang penting pada saya adalah semuanya bersetuju untuk kita reset segala apa yang berlaku dalam negara kerana ada perkara yang pasti perlukan pembetulan.
"Kita perlukan kekuatan untuk lakukan (agenda Reset), maka sudah tentu UMNO menjadi salah satu anggota yang patut bersama dalam perjuangan ini bagi memastikan segala apa yang berlaku dapat selesaikan dengan baik," katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama Ketua Pembangkang di sini pada Isnin.
Sebelum ini, UMNO dilapor membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli pernah dipecat, digantung keahlian dan individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti untuk menyertai UMNO.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Razlan Rafii turut menggesa Hamzah bersama penyokongnya supaya kembali menyertai parti itu tanpa perlu menubuhkan parti politik baru.
Sementara itu Hamzah memaklumkan, proses pendaftaran Parti Keluarga Malaysia (PKM) sedang dilaksanakan selepas permohonannya ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) pada 2022.
Namun menurutnya, terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.
"Sudah tentu perbincangan melibatkan segala perincian, saya tidak mahu nanti ada yang tertinggal. Contohnya dari segi Perlembagaan semasa menubuhkan parti itu.
"Ada beberapa perkara yang saya rasa tidak kena dengan sifat saya sebagai pejuang. Sebab itu saya perlukan masa (meneliti)," ujarnya.
