Dua video daripada aplikasi TikTok didakwa mengandungi suara Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai sejumlah wang yang dimasukkan ke akaun Bersatu, dikemukakan pada perbicaraan hari pertama kes rasuah dan pengubahan haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Ia membabitkan empat kes salah guna kedudukan untuk suapan berjumlah RM225.3 juta dan tiga pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM195 juta dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berusia 79 tahun itu.
Penolong Penguasa (PPs) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syawaludin Said selaku saksi pendakwaan (SP) pertama berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nordin bagi kes dihadapi Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) terbabit.
Mohd Syawaludin yang bertugas di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sejak Ogos 2014 berkata, satu video membabitkan audio sahaja sementara satu lagi rakaman audio termasuk visual.
Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Mohd Afzal, Mohd Syawaludin, 37, berkata, dia mendengar audio itu pada 16 Januari 2025 sementara rakaman kedua pada 26 Julai tahun sama.
“Rakaman audio itu mengandungi suara Tan Sri Muhyiddin, yang dalam video itu, beliau menafikan telah menerima wang dalam poket sendiri sebaliknya, ke akaun parti.
“Pemilik akaun bagi rakaman pertama berdurasi 17 saat, dimuat naik oleh individu menggunakan nama ‘@puterishantek’ pada 22 September 2024.
“Rakaman kedua pula dimuat naik oleh pengguna aplikasi atas nama ‘@wanhadi21’
yang mana saya tidak mengenali kedua-dua individu berkenaan,” katanya.
Sumber.
