Pendedahan oleh Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, mengenai kewujudan inisiatif “Langkah Siam” membuka satu dimensi baharu dalam landskap politik negara khususnya berkaitan peranan berterusan Mahathir dalam mencatur gerakan politik Melayu.
Menurut Hamzah, pertemuannya dengan Presiden UMNO, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukanlah atas kepentingan peribadi, sebaliknya dilakukan atas mandat Mahathir melalui gagasan “payung besar” untuk menyatukan kepimpinan Melayu.
Namun persoalan yang timbul bukan sekadar tentang usaha penyatuan itu sendiri, tetapi siapa yang sebenarnya menggerakkan agenda tersebut dan untuk tujuan apa.
Dalam konteks ini, nama Mahathir sekali lagi muncul sebagai arkitek di belakang tabir. Walaupun tidak lagi memegang jawatan utama dalam kerajaan atau parti besar, pengaruh beliau jelas masih bergerak dalam percaturan politik semasa.
Istilah “payung besar” dan “reset negara” yang sering diulang bukanlah sesuatu yang baharu. Ia pernah digunakan dalam pelbagai fasa politik sebelum ini dan hampir semuanya berkisar kepada satu perkara, iaitu mengenai penyusunan semula kuasa.
Di sinilah timbul persepsi bahawa gerakan seperti “Langkah Siam” bukan sekadar usaha penyatuan tetapi sebahagian daripada strategi lebih besar untuk membuka semula ruang pengaruh kepada Mahathir dalam politik nasional.
Lebih menarik, Hamzah sendiri mengakui bahawa usaha tersebut akhirnya membawa kepada pemecatan beliau daripada Bersatu. Ini menimbulkan persoalan sama ada pendekatan yang dibawa benar-benar selari dengan kehendak kepimpinan semasa, atau sebenarnya mencabar struktur kuasa sedia ada.
Apabila Mahathir masih muncul sebagai pencetus idea dan pemberi mandat kepada gerakan politik tertentu, sukar untuk menafikan bahawa beliau masih mempunyai kepentingan dalam menentukan arah tuju politik negara.
Lebih-lebih lagi apabila naratif “reset” terus dimainkan, satu istilah yang dalam banyak keadaan membawa maksud perubahan besar terhadap struktur sedia ada.
Adakah ini benar-benar tentang penyatuan Melayu atau satu lagi percubaan untuk menyusun semula landskap kuasa dengan Mahathir kembali sebagai pemain utama?
Sejarah politik negara menunjukkan bahawa Mahathir bukanlah tokoh yang mudah berundur sepenuhnya.
Dan dengan kemunculan semula idea seperti “Langkah Siam”, satu perkara menjadi semakin jelas iaitu bayang-bayang beliau dalam politik Malaysia masih belum hilang, dan mungkin juga belum berniat untuk hilang.
