Dalam masyarakat Melayu, wujud satu kepercayaan lama, apabila seseorang mula bercakap tanpa asas yang jelas, tidak berpijak pada logik atau kelihatan “meraban”, ia sering ditafsir sebagai tanda kegelisahan dalaman atau seseorang mula menghadapi masalah ‘jiwa kacau’. Sama ada ia sekadar mitos atau refleksi psikologi, tafsiran ini tetap hidup dalam budaya terutamanya apabila diterjemahkan ke dalam dunia politik yang sarat dengan persepsi.
Begitulah juga dengan Mas Ermieyati Samsudin yang tiba-tiba mencetuskan perhatian melalui satu hantaran media sosial melalui akaun facebooknya yang menggambarkan Pantai Pengkalan Balak sebagai sunyi dan tidak dikunjungi. Sekilas pandang, ia mungkin sekadar pemerhatian biasa. Namun dalam konteks politik semasa, ia mengundang persoalan yang lebih besar, apakah ia gambaran realiti atau satu percubaan membina persepsi buruk terhadap kerajaan Melaka?
Pantai Pengkalan Balak bukanlah lokasi asing bagi rakyat Melaka. Ia dikenali sebagai antara destinasi tumpuan, khususnya pada hujung minggu dan musim cuti. Justeru, kenyataan bahawa kawasan tersebut “sepi” perlu dilihat dalam konteks masa dan keadaan. Hakikatnya, hari yang dimaksudkan adalah tempoh selepas cuti panjang Hari Raya Aidilfitri iaitu ketika majoriti rakyat kembali bekerja dan pergerakan pelancong sememangnya berkurang. Hari ini bukankah hari bekerja di Melaka dan juga di seluruh negara?
Di sinilah timbul persoalan terhadap tahap normal seorang wakil rakyat, mengapa gambaran tersebut tidak dibuat berdasarkan pemerhatian pada waktu puncak, seperti hujung minggu sebelumnya?
Adakah Mas Ermieyatie kemurungan apabila tindakannya menyokong Hamzah Zainudin dalam percaturan dalaman parti Bersatu baru-baru ini meberi kesan mendalam termasuk keadaan emosinya?
Keputusan beliau menentang kepimpinan Muhyiddin Yassin, telah meletakkan beliau dalam posisi yang semakin sukar untuk mengekalkan kerusi yang dipegangnya selama 3 penggal.
Keputusan beliau melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah pada Februari 2026, diikuti peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Melaka pada Mac 2026, memperkukuh persepsi bahawa beliau sedang melalui fasa kritikal dalam kerjaya politiknya. Lebih signifikan, tindakan pantas kepimpinan pusat melantik pengganti memberi isyarat jelas bahawa struktur parti tidak lagi bergantung kepada beliau.
Implikasinya tidak kecil. Kerusi Parlimen Masjid Tanah yang sebelum ini menjadi tapak politik beliau kini dilihat terbuka kepada penggantian. Dalam landskap politik parti, ini sering menjadi petunjuk awal bahawa seseorang pemimpin sedang kehilangan 'kuasa'.
Mungkin setelah sedar bahawa langkahnya sumbang maka beliau terpaksa menampakkan bahawa keberadaan beliau kekal dan masih relevan bagi kerusi parlimen Masjid Tanah walaupun beliau tahu amat sukar baginya kerana kerusi tersebut adalah milik Bersatu maka beliau memuat naik status berkenaan Pantai Pengkalan Balak dengan cara begini?
Namun, apabila naratif itu dilihat tidak selari dengan realiti semasa, ia berisiko memakan diri. Orang Melaka pun tahu kemeriahan di Pantai tersebut dan bila waktu puncaknya.
Jika jiwa tidak tenteram, pergilah berubat dan bukannya datang ke pantai ketika hari bekerja.


