Di sebalik sikap menolak yang ditunjukkan sebelum ini, seorang pemimpin akar umbi PAS yang dekat dengan presiden parti itu hari ini menzahirkan sokongannya terhadap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhar, sebagai pengerusi baru PN. Bagi Zaharudin Muhammad, Ahmad Samsuri memang wajar dilantik sebagai ketua pembangkang berbanding penyandang sebelum ini.
Dalam hantaran dimuat naik di media sosial pagi ini, Zaharudin berkata, berdasarkan laporan media mengenai pendirian Hamzah terkait jawatan ketua pembangkang, bolehlah ditafsirkan bahawa Ahli Parlimen Larut itu masih berpeluang kekal dengan jawatan tersebut jika mendapat sokongan majoriti ahli parlimen pembangkang.
“Antara Hamzah dan Dr Sam (Ahmad Samsuri), bagi saya jauh baik Dr Sam jadi ketua pembangkang, kerana penting keselarasan gerak kerja. “Jika tak, (misalnya) PN buat keputusan A tiba-tiba di parlimen ketua pembangkang buaf keputudan B,” katanya. Namun menantu Abdul Hadi Awang itu menegaskan, dari aspek calon perdana menteri dia kekal dengan sikap sebelum ini – Ahmad Samsuri bukanlah orang yang sesuai.
Malah lebih menarik Zaharudin mengemukakan satu nama baru dalam kalangan pemimpin kanan PAS yang dianggapnya sesuai sebagai calon perdana menteri.
“Ini posisi ketua pembangkang, tetapi posisi PM (calon perdana menteri) saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am bahawa DS Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk YB Ustaz Idris Ahmad adalah lebih layak, justeru ketua pembangkang dalam parlimen tidak melibatkan pentadbiran negara atau pentadbiran kerajaan pusat,” katanya lagi. Sebelum ini Zaharudin memberi amaran bahawa PN berisiko mengalami kerugian jika Ahmad Samsuri dilantik menggantikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, sebagai pengerusi gabungan tersebut.
Pada pandangan Yang Dipertua PAS Sungai Buloh itu lagi “analisis dalaman” menunjukkan parti tersebut boleh kalah sehingga 37 kerusi parlimen jika PN dipimpin oleh Ahmad Samsuri.
“Cuma saya bimbang kawan-kawan seronok untuk naikkan PAS atau lebih spesifik Samsuri sebagai pengerusi PN, tanpa menyedari ia tidak baik untuk PAS dan Malaysia,” katanya pada pertengahan Jan lalu.
Dia yang pernah menganggotai Jawatankuasa PAS Pusat serta majlis syura ulama turut membangkitkan isu kewujudan kumpulan “jebon” dalam parti itu – yang merujuk kepada pihak cuba mengkhianati perjuangan mereka. Untuk rekod Ahmad Samsuri dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi PN pada 22 Feb lalu.
Kelmarin, Ahmad Samsuri mengumumkan jawatan ketua pembangkang akan diwakili oleh pemimpin PAS.
Kata Zaharudin hari ini, selain Ahmad Samsuri – yang juga Naib Presiden PAS – satu lagi nama yang boleh dicadangkan sebagai pengganti Hamzah ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.
Selain ahli parlimen, Takiyuddin merupakan Setiausaha Agung PAS.
“Semog semua MP (ahli parlimen) PN dapat memilih Dr Sam atau DS Takiyudin sebagai ketua pembangkang.
“Saya ulang sekali lagi – untuk (calon) PM tetap DS Tuan Ibrahim atau YB Datuk Ustaz Idris Ahmad (jika PM adalah daripada PAS),” katanya.
Sumber.
