Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempertahankan keputusan kerajaan negeri meneruskan penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka walaupun ada pihak mendakwa program itu sebagai ‘gula-gula’ awal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangkakan tahun ini.
Beliau menegaskan, penganjuran majlis tersebut tidak bermaksud untuk membelakangkan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengamalkan langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Menurutnya, keputusan mengadakan rumah terbuka itu telah dibuat lebih awal sebelum saranan tersebut dikeluarkan.
“Sebenarnya kita juga negeri terawal yang telah mengumumkan kepada rakyat Melaka bahawa kita ada rumah terbuka secara rasmi pada 28 Mac ini kerana ia telah diputuskan dalam perbincangan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Ia bertujuan merakyatkan pentadbiran melalui program Melaka Mesra Rakyat ataupun Demi Rakyat Untuk Rakyat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Glam Bazar Ramadan Klebang 2026 pada malam Ahad.
Ab Rauf berkata, keputusan tersebut turut melibatkan penyediaan bajet lebih awal, justeru program berkenaan tetap diteruskan.
“Tidak semestinya kita melawan arus, tidak, tetapi kita telah memberi komitmen kepada rakyat bahawa rumah terbuka ini akan dijalankan,” ujarnya.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan majlis itu sebagai ‘gula-gula’ politik menjelang PRN, Ab Rauf berkata, beliau tidak mengambil serius tanggapan tersebut.
“Saya tidak kisah sama ada ia gula-gula awal atau gula-gula akhir. Dalam menguruskan negeri, kita ada tanggungjawab kepada rakyat dan tanggungjawab itu dilaksanakan dalam pelbagai bentuk.
“Gula-gula itu terserahlah kepada mereka. Nak kata gula-gula ke atau racun, itu terpulang kepada mereka. Tetapi sebagai kepimpinan negeri, kita bertanggungjawab menunaikan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat,” katanya.
Anwar sebelum ini memutuskan semua kementerian, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini sebagai langkah berjimat cermat.
Keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri dan bertujuan memberi mesej jelas bahawa kerajaan komited mengambil pendekatan lebih sederhana serta berhemat dalam perbelanjaan.
Selain pembatalan majlis rumah terbuka, Anwar berkata, menteri dan anggota pentadbiran turut dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara, kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan atau wajib dihadiri.
