Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memberi alasan bahawa beliau sudah lama tidak mengadakan sidang media kerana tidak mahu kenyataannya diputar belit sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, apabila kenyataannya “dipusing”, beliau terpaksa mengambil masa untuk memperbetulkannya semula, sekali gus membuang masa yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan tugas lain.
“Sebab bila saya cakap di sini, orang suka pusing. Baik saya tak cakap dan saya buat kerja saja. Bila orang pusing, kita kena buat lagi sekali untuk betulkan perkara yang dipusing itu,” katanya ketika ditemui selepas satu majlis di Wisma Darul Aman.
Beliau juga mendakwa terdapat pihak yang mengambil hanya sebahagian daripada kenyataannya lalu memutarnya di media sosial sehingga menyebabkan orang ramai keliru.
Namun persoalan yang timbul ialah benarkah semua kekeliruan itu berpunca daripada orang lain, atau sebenarnya daripada cara beliau sendiri mengeluarkan kenyataan?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Muhammad Sanusi Md Nor dikenali sebagai antara pemimpin politik yang paling kerap mengeluarkan kenyataan kontroversi sama ada berkaitan negeri lain, isu politik nasional mahupun perkara yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan pentadbiran Kedah.
Sebahagian kenyataan tersebut bukan sekadar tajam, malah sering kali mengelirukan dan menimbulkan polemik baharu yang akhirnya memerlukan penjelasan tambahan.
Ironinya, selepas kontroversi tercetus, naratif yang sering dibawa ialah kenyataan tersebut telah “diputar belit”.
Keadaan ini menimbulkan persepsi bahawa masalah sebenar mungkin bukan pada orang yang mendengar, tetapi pada gaya komunikasi yang gemar melontarkan kenyataan separuh jelas, bersifat sindiran atau hiperbola politik.
Dalam dunia komunikasi politik, pemimpin yang mahu mengelakkan salah tafsir biasanya memilih bahasa yang tepat, fakta yang jelas dan mesej yang konsisten.
Sebaliknya, jika kenyataan sering mencetuskan kekeliruan yang sama berulang kali, masyarakat tentu akan tertanya-tanya sama ada ia benar-benar disalah tafsir atau memang sejak awal kenyataan itu sendiri sudah mengelirukan.
Dalam kenyataannya juga, Sanusi menyindir bahawa ramai orang di dunia ini suka “memusing cerita” dan menyebabkan orang lain mendapat “dosa percuma”.
Beliau turut mengajak semua pihak mengambil semangat Ramadan untuk bercakap benar dan menjalankan tugas dengan ikhlas tanpa menimbulkan kekeliruan.
Seruan itu sememangnya baik.
Namun dalam konteks politik hari ini, masyarakat juga semakin matang untuk menilai bahawa kejelasan mesej bermula daripada pemimpin sendiri.
Jika kenyataan yang dikeluarkan jelas, berfakta dan tidak bersifat provokatif, ruang untuk “dipusing” sebenarnya jauh lebih kecil.
Mungkin sebab itu juga ada yang melihat tindakan mengurangkan sidang media bukan sekadar soal mengelakkan kenyataan diputar belit.
Sebaliknya, ia mungkin satu pengakuan tidak langsung bahawa semakin kerap bercakap, semakin banyak kekeliruan yang tercipta.
