Presiden Abdul Hadi Awang sekali lagi menulis dalam kolum Minda Presiden PAS dengan tajuk Rumah Bangsa Yang Tidak Berdinding”.
Dalam tulisannya, beliau cuba memberi gambaran seolah-olah gagasan Rumah Bangsa yang digerakkan oleh UMNO merupakan satu usaha membentuk perpaduan Melayu tanpa teras Islam serta kononnya masih terikat dengan DAP.
Masalahnya bukan sekadar kritikan politik.
Masalahnya ialah premis yang digunakan oleh Hadi sendiri sudah tersasar daripada maksud sebenar Rumah Bangsa.
Pertama sekali perlu difahami dengan jelas: Rumah Bangsa bukan pakatan politik.
Rumah Bangsa ialah untuk menghimpunkan semula bekas ahli dan pemimpin UMNO yang pernah keluar parti sama ada kerana konflik politik, perpecahan atau perbezaan strategi supaya kembali kepada parti asal.
Ia adalah rumah untuk kembali, bukan “gabungan parti” untuk membentuk kerajaan.
Jika tujuan Rumah Bangsa adalah untuk bekerjasama dengan parti lain, tentu sahaja struktur politik baharu akan diumumkan tetapi hakikatnya tidak begitu.
Justeru, apabila Abdul Hadi Awang cuba mengaitkan Rumah Bangsa dengan DAP, persoalan yang timbul ialah. Hadi faham atau tidak sebenarnya konsep Rumah Bangsa itu sendiri?
Dalam konteks hubungan antara parti politik pula, yang ada kaitan sebenarnya ialah Musyawarah Nasional.
Musyawarah Nasional merupakan platform dialog antara parti-parti politik untuk membincangkan isu negara, dasar dan kerjasama politik dalam kerangka yang lebih luas.
Di situlah perbincangan politik berlaku.
Rumah Bangsa pula tidak berada dalam kerangka itu. Ia adalah usaha dalaman untuk memperkukuh kembali kekuatan UMNO dengan membawa pulang mereka yang pernah meninggalkan parti.
Menyamakan kedua-duanya jelas menunjukkan kekeliruan asas terhadap struktur yang sedang dibina.
Dalam tulisannya juga, Abdul Hadi Awang menyatakan kononnya Rumah Bangsa membawa perpaduan Melayu tanpa berteraskan Islam.
Ini satu tuduhan yang agak pelik.
Sejak penubuhannya pada tahun 1946, UMNO tidak pernah menafikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan asas penting dalam perjuangan politik Melayu.
Bahkan banyak institusi Islam negara, daripada pembangunan institusi pendidikan Islam hingga kepada pengukuhan pentadbiran agama berkembang dalam era pentadbiran yang dipimpin UMNO.
Justeru menuduh gagasan Rumah Bangsa sebagai “tanpa Islam” bukan sahaja tidak tepat, malah kelihatan seperti retorik politik yang cuba menimbulkan syak wasangka.
Dalam kolum yang sama, Presiden PAS itu turut mengingatkan supaya umat Islam berhati-hati dalam memilih kawan dan menjauhi rakan yang boleh merosakkan urusan agama dan dunia.
Nasihat itu memang benar dari segi prinsip.
Namun apabila prinsip itu digunakan untuk menyerang gagasan yang sebenarnya tidak melibatkan pakatan politik, maka ia kelihatan seperti meletakkan nas pada konteks yang salah.
Lebih mengelirukan apabila PAS sendiri dalam sejarah politiknya pernah bekerjasama dengan pelbagai parti yang berbeza ideologi dalam pakatan politik yang silih berganti.
Jadi apabila konsep Rumah Bangsa yang sebenarnya hanyalah usaha mengumpulkan semula orang UMNO diserang dengan hujah teologi dan analogi “rumah tanpa dinding”, ia membuktikan satu perkara, siapa sebenarnya yang tersilap memahami konsep itu sejak awal?
Akhirnya tulisan “Rumah Bangsa Yang Tidak Berdinding” lebih kelihatan sebagai retorik politik daripada analisis yang berasaskan fakta.
Apabila konsep yang dikritik pun tidak difahami dengan tepat, maka keseluruhan hujah yang dibina di atasnya juga menjadi longgar.
Rumah Bangsa bukan rumah tanpa dinding.
Ia hanyalah pintu yang dibuka semula untuk mereka yang pernah keluar dari rumah asalnya.
Jika premis asas itu pun tidak difahami, tidak hairanlah keseluruhan kolum tersebut akhirnya kedengaran lebih seperti naratif politik yang mengarut daripada hujah yang benar-benar menjelaskan realiti.
Hadi Awang perlu bertaubat!
