Pemuda DAP Melaka Tersasar Arah Ekonomi Negeri

Melaka Digest
By -
0

Kenyataan “tiba masanya Melaka utamakan rakyat, bukan pelancong” yang dilontarkan oleh Cassel Krishnan, Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Negeri Melaka bukan sahaja cetek dari sudut ekonomi, malah memperlihatkan kegagalan memahami struktur sebenar ekonomi negeri.


Retorik populis seperti ini mungkin sedap didengar di pentas politik, namun jauh tersasar daripada realiti kehidupan ribuan rakyat Melaka yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada sektor pelancongan.

Pelancongan bukan sekadar soal kehadiran pengunjung tetapi merupakan nadi utama rantaian ekonomi negeri. Ia menyokong peniaga kecil, pengusaha hotel dan inap desa, pemandu pelancong, sektor makanan dan minuman, seni budaya, pengangkutan, logistik, keselamatan serta peruncitan tempatan. Menafikan kepentingan sektor ini sama seperti menafikan periuk nasi rakyat yang kononnya mahu “diutamakan”. Bukankah ramai kaum ‘Tioghua’ yang dapat manfaat daripada limpahan rantaian ekonomi ini?


Lebih menghairankan, Cassel Krishnan gagal mengemukakan sebarang pelan ekonomi alternatif yang konkrit, yang kedengaran hanyalah hiruk politik, seolah-olah kerajaan negeri langsung tidak memikirkan kebajikan rakyat, sedangkan data dan angka menunjukkan sebaliknya.


Di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sektor pelancongan telah menjadi pemangkin utama pemulihan ekonomi negeri. Pada tahun 2024 sahaja, Melaka merekodkan RM12.68 bilion pendapatan pelancongan hasil kunjungan kira-kira 15 juta pelawat sempena Tahun Melawat Melaka.

Sehingga Ogos 2025, lebih 11 juta pelancong telah direkodkan dengan hasil sekitar RM12.05 bilion, hampir mencapai sasaran tahunan. Malah, kerajaan negeri menyasarkan RM17.97 bilion pada 2025 dan berpotensi mencecah RM20 bilion pada 2026, selari dengan momentum pelancongan nasional.

Prestasi ini bukan sekadar angka kosmetik. Ia diterjemahkan secara langsung kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) negeri.

Pada 2022, GDP Melaka melonjak sekitar 8.6 peratus, antara kadar tertinggi dalam tempoh setahun pasca pandemik. Walaupun pertumbuhan memperlahankan sedikit pada 2023, ekonomi kembali stabil pada 2024 dengan pertumbuhan 4.4 peratus dan unjuran 2025 dijangka kekal positif antara 4.5 hingga 5.0 peratus. Ini mencerminkan pemulihan yang sihat dan mampan, bukan ekonomi yang rapuh seperti yang cuba digambarkan.

Lebih penting, pertumbuhan ini tidak hanya bergantung kepada pelancongan semata-mata. Ia disokong oleh sektor perkhidmatan, perdagangan, pembuatan serta pelaburan strategik bernilai tinggi termasuk infrastruktur dan teknologi. Justeru, dakwaan bahawa kerajaan negeri “sibuk dengan pelancongan” hingga mengabaikan rakyat adalah naratif murahan yang mengelirukan.

Di bawah kepimpinan Ab Rauf Yusoh, Melaka telah menunjukkan pemulihan ekonomi yang jelas, peningkatan GDP yang konsisten serta hala tuju pertumbuhan yang stabil. Dalam konteks ini, persoalan sebenar bukanlah sama ada Melaka perlu “mengutamakan rakyat atau pelancong” tetapi mengapa Pemuda DAP Melaka memilih untuk menutup mata terhadap fakta ekonomi demi keuntungan politik jangka pendek. Retorik tanpa data mungkin menghangatkan suasana, tetapi ia tidak membina masa depan rakyat Melaka.

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)