Kegagalan Perikatan Nasional (PN) menamakan Ketua Pembangkang baharu selepas ketiadaan Datuk Seri Hamzah Zainudin semakin menyerlahkan kelemahan sebenar PAS sebagai kuasa dominan dalam gabungan itu.
Walaupun PAS memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam blok pembangkang dan diberi tanggungjawab memilih calon daripada kalangan Ahli Parlimennya sendiri, parti itu masih gagal memuktamadkan pelantikan bagi jawatan paling penting dalam struktur pembangkang negara.
Situasi tersebut menimbulkan persoalan, jika jawatan Ketua Pembangkang pun gagal diisi dengan segera, bagaimana PAS mahu meyakinkan rakyat bahawa mereka bersedia mentadbir negara?
“Biar Lambat Asal Selamat” Atau Tiada Calon Meyakinkan?
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini memberi bayangan bahawa proses pemilihan tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa dengan alasan “biar lambat asal selamat.”
Namun pemerhati politik negara melihat bahawa alasan tersebut tidak kukuh. Apabila kelewatan berlarutan tanpa keputusan jelas, ia mula dilihat bukan sebagai strategi tetapi petanda krisis keyakinan dalaman.
Adakah PAS benar-benar sedang meneliti calon terbaik atau sebenarnya gagal mencari tokoh yang mampu diterima semua pihak?
Jika sebuah parti yang mendakwa mempunyai ramai pemimpin berwibawa masih tercari-cari calon Ketua Pembangkang, ia memberi gambaran bahawa kepimpinan mereka lebih rapuh daripada yang disangka.
Jawatan Ketua Pembangkang bukan sekadar gelaran. Ia adalah simbol kekuatan alternatif kepada kerajaan, suara utama semak dan imbang, serta wajah gabungan yang mahu menawarkan kepimpinan negara.
Apabila kerusi itu dibiarkan kosong terlalu lama, mesej yang sampai kepada rakyat amat jelas bahawa pembangkang masih gagal menyusun rumah sendiri. Rumah inilah yang sebenarnya banyak hantu kata pemerhati.
Lebih memeritkan, kekosongan ini berlaku ketika rakyat sedang menanti pembangkang yang kuat, tersusun dan mampu mencabar kerajaan dengan idea, dasar serta kepimpinan yang meyakinkan.
PAS mungkin mempunyai kerusi terbanyak dalam PN, namun ‘angka bersifat kosong’ tidak membawa makna besar.
Dominasi kerusi sepatutnya memudahkan keputusan, bukannya melumpuhkan proses memilih pemimpin. Jika parti paling kuat dalam gabungan pun gagal memimpin ketika diperlukan, maka kekuatan itu sekadar statistik.
Kelewatan ini juga membuka ruang spekulasi bahawa wujud perebutan pengaruh, pertimbangan kem dalaman dan kebimbangan terhadap reaksi rakan gabungan.
PAS kini berdepan ujian paling besar, bukan di pentas ceramah, tetapi dalam soal membuat keputusan strategik.
Jika mereka terus berlengah, naratif “biar lambat asal selamat” akan bertukar menjadi “terlalu lambat kerana terlalu lemah.”
Akhirnya, kelewatan melantik Ketua Pembangkang bukan sekadar isu jawatan. Ia cerminan sama ada PAS benar-benar bersedia memimpin negara atau masih gagal memimpin gabungan sendiri.
