Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026 semakin terasa apabila Ketua Menteri Melaka yang juga Ketua Perhubungan UMNO Barisan Nasional (BN) negeri mengumumkan bahawa BN bersedia bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengumuman itu bukan sekadar strategi pilihan raya tetapi mesej jelas bahawa BN yakin dengan kekuatan akar umbi, kestabilan pentadbiran serta rekod prestasi yang sedang dinikmati rakyat Melaka ketika ini.
Langkah bertanding di semua DUN menunjukkan BN tidak lagi mahu bergantung kepada percaturan pihak lain, sebaliknya memilih untuk tampil sebagai kuasa utama yang mampu menawarkan kerajaan stabil, berpengalaman dan berwibawa.
Di bawah pentadbiran YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Melaka dilihat terus mencatat pertumbuhan dalam sektor pelancongan, pelaburan dan pembangunan negeri. Infrastruktur diperkasa, ekonomi tempatan digerakkan dan keyakinan pelabur semakin meningkat.
Ini memberikan kelebihan besar kepada BN kerana rakyat lazimnya menilai siapa yang benar-benar bekerja, bukan siapa yang paling kuat berpolitik di pentas ceramah.
Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Melaka dijangka akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka pada bila-bila masa, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa proses pembubaran Dewan Undangan Negeri mungkin semakin hampir.
Jika itu berlaku, PRN Melaka 2026 bakal menjadi medan penting mengukur sentimen rakyat terhadap kestabilan politik dan hala tuju pembangunan negeri.
Ketika BN sudah menyusun langkah dan menunjukkan kesiapsiagaan, pihak pembangkang pula masih dilihat bergelut dengan isu dalaman, perebutan kerusi dan naratif lama yang semakin kurang mendapat sambutan.
Rakyat Melaka kini semakin matang. Mereka mahukan pentadbiran yang boleh bekerja, bukan eksperimen politik yang berulang kali mencetuskan ketidaktentuan.
Keputusan BN untuk bertanding semua DUN membawa makna besar, parti itu bukan sekadar mahu menang tetapi mahu mandat penuh untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa gangguan politik tidak berkesudahan.
Sekiranya momentum semasa berterusan, PRN Melaka 2026 berpotensi menjadi pentas kebangkitan besar BN dan bukti bahawa rakyat semakin menghargai kestabilan berbanding retorik kosong.




