Tindakan berterusan Muhyiddin Yassin yang didakwa terus mendesak perubahan jawatan Ketua Pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) kini memperlihatkan sejauh mana sebenarnya pengaruh beliau masih bertahan dalam gabungan tersebut.
Di sebalik usaha berulang untuk menggerakkan perubahan kepimpinan pembangkang di Parlimen, ramai pemerhati melihat isu ini bukan lagi sekadar soal jawatan tetapi petunjuk jelas mengenai perebutan kuasa dan survival politik dalam PN.
Ketua RESET Sepanggar, Norsahar Ahmad, secara terbuka mendakwa desakan berterusan itu menggambarkan kebergantungan politik Muhyiddin terhadap jawatan berkenaan.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin nampaknya terlalu obses dengan jawatan Ketua Pembangkang, seolah-olah itulah talian hayat terakhir untuk menghidupkan kembali pengaruh dalam gabungan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelbagai saluran didakwa digunakan termasuk tekanan menerusi media serta rundingan dalaman, namun sehingga kini masih gagal mengubah pendirian kepimpinan PN, khususnya PAS yang kini dilihat semakin dominan.
“Berkali-kali beliau mendesak, tetapi tidak membuahkan hasil,” tambahnya.
Kegagalan berterusan itu menimbulkan persepsi bahawa kuasa tawar-menawar Muhyiddin dalam PN tidak lagi seperti dahulu. Jika sebelum ini beliau dilihat sebagai tokoh utama yang menentukan rentak gabungan, keadaan semasa menunjukkan keputusan akhir kini semakin banyak ditentukan pihak lain.
Ungkapan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa soal pelantikan perlu dibuat dengan pendekatan “biar lambat asal selamat” ditafsir ramai sebagai isyarat jelas bahawa PAS tidak bersedia tunduk kepada tekanan atau desakan mana-mana pihak. Muhyiddin hanya disokong oleh 6 ahli parlimen, inilah sebabnya PAS tidak lagi gerun dengan beliau.
.jpeg)