![]() |
| Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin |
PENGHINAAN TERHADAP DYMM SULTAN SELANGOR ADALAH PERBUATAN DURJANA, BIADAB DAN TIDAK BOLEH DITERIMA SAMA SEKALI
1. Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor dan seluruh ahli UMNO negeri ini mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan durjana pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting serta menyebarkan imej penghinaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
2. Perbuatan jijik ini bukan sekadar menghina peribadi Baginda, malah merupakan penghinaan terbuka terhadap institusi Kesultanan Selangor, lambang kedaulatan negeri, payung rakyat serta tonggak keharmonian yang wajib dipertahankan. Tindakan biadab seperti ini jelas menunjukkan sikap melampau, tidak bertamadun dan langsung tidak menghormati undang-undang, adat serta tatasusila rakyat Malaysia.
3. UMNO Selangor menegaskan bahawa mana-mana pihak yang berani memperlekeh, menghina atau mencabar martabat institusi diraja mesti dikenakan tindakan paling tegas tanpa sebarang kompromi. Tiada ruang toleransi terhadap penghinaan seumpama ini.
4. Sehubungan itu, Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor akan membuat laporan polis agar siasatan segera dijalankan, dalang sebenar dikenal pasti, pelaku ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
5. Kami turut mendesak Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta semua agensi penguatkuasaan bertindak pantas dan tegas tanpa sebarang kelewatan.
6. Jangan sesekali ada pihak menyangka penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor boleh dipandang ringan atau dilepaskan begitu sahaja. Rakyat Selangor menjunjung tinggi institusi diraja dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mencemarkan maruah negeri ini.
7. UMNO Selangor akan terus berdiri teguh di barisan hadapan mempertahankan maruah DYMM Sultan Selangor serta kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu daripada sebarang penghinaan dan ancaman.
Daulat Tuanku.
MEGAT ZULKARNAIN OMARDIN
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor
26 April 2026 | 8 Zulkaedah 1447H
![]() |
| Datuk Seri Jamal Md Yunos |
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan kenyataan wakil rakyat DAP di dalam Sidang DUN Selangor berhubung isu ladang babi bukan sahaja menyentuh sensitiviti masyarakat Melayu dan Islam, malah dilihat sebagai batu api yang mengundang penghinaan terhadap institusi diraja.
Menurut Jamal, isu yang dibangkitkan itu telah membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk bertindak lebih melampau, termasuk tularnya satu gambar suntingan biadab yang menghina wajah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
"Tindakan sebegini adalah satu penghinaan keterlaluan terhadap institusi diraja Selangor dan tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat yang menjunjung kedaulatan Sultan.
"Saya ingin menegaskan bahawa tindakan ADUN Seri Kembangan yang gagal memahami sensitiviti rakyat serta terus memainkan isu yang mencetuskan kemarahan awam adalah punca kepada tercetusnya keadaan yang tidak sihat ini.
"Sehubungan itu, saya selaku Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar mewakili UMNO Selangor akan membuat laporan polis agar siasatan segera dijalankan terhadap YB Wong Siew Ki serta individu-individu yang terlibat dalam penyebaran gambar penghinaan terhadap Sultan Selangor," tegas beliau dalam satu kenyataan media.
Susulan itu, Jamal yang mewakili UMNO Selangor memaklumkan akan membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera dijalankan terhadap Wong Siew Ki serta individu yang terlibat dalam penyebaran gambar menghina baginda Sultan.
"Jangan sesekali cuba menguji kesabaran rakyat Selangor dalam isu yang melibatkan maruah Sultan dan negeri," tambah Jamal lagi.
Katanya, UMNO Selangor menuntut agar pihak berkuasa mengambil langkah drastik bagi mengekang sebarang cubaan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan kedaulatan institusi diraja.
Juga kenyataan rasmi dari Ketua UMNO Bahagian Subang:
![]() |
| Dato Dr Armand Azha Hj Abu Hanifah |
Kenyataan Rasmi UMNO Bahagian Subang:
HENTIKAN BIADAB TERHADAP RAJA! PENGHINAAN TERHADAP DYMM SULTAN SELANGOR ADALAH PENGKHIANATAN YANG TIDAK AKAN DIBIARKAN
1. UMNO Bahagian Subang mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab, durjana dan tidak beradab pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup menyunting serta menyebarkan imej penghinaan terhadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
2. Ini bukan sekadar satu kesalahan ini adalah pengkhianatan terhadap negeri Selangor, terhadap rakyatnya, dan terhadap institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi payung kedaulatan negara. Tindakan ini melampaui batas dan mencabar kesabaran rakyat.
3. UMNO Bahagian Subang memberi amaran keras: institusi diraja bukan bahan jenaka, bukan sasaran kebencian, dan bukan ruang untuk diuji. Sesiapa yang berani mencabar martabat Raja-Raja Melayu akan berdepan tindakan undang-undang paling tegas.
4. Jangan ada mana-mana pihak berselindung di sebalik alasan kebebasan bersuara untuk menormalisasikan penghinaan. Kebebasan tanpa adab adalah kebiadaban, dan kebiadaban ada harganya.
5. Kami mendesak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertindak segera tanpa kompromi — kesan, tangkap dan dakwa pelaku. Jangan beri ruang walau seinci kepada pihak yang cuba meruntuhkan kedaulatan negeri.
6. Kepada seluruh rakyat, khususnya di Subang ini bukan masa untuk berdiam diri. Maruah DYMM Sultan Selangor adalah maruah kita bersama. Setiap penghinaan wajib ditolak, setiap kebiadaban mesti ditentang.
7. UMNO Bahagian Subang akan terus berdiri di barisan hadapan, tanpa gentar dan tanpa kompromi, dalam mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu. Kami tidak akan berundur walau selangkah dalam soal ini.
Daulat Tuanku.
Dato Dr Armand Azha Hj Abu Hanifah
Ketua UMNO Bahagian Subang
26 April 2026 | 8 Zulkaedah 1447H
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)