Isu berhubung hiburan kembali menjadi bahan politik PAS apabila satu hantaran yang dikaitkan dengan Dewan Pemuda PAS Melaka mengkritik penganjuran rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri oleh Ketua Menteri Melaka, Dato Seri Ab Rauf Yusoh di Masjid Tanah. Hantaran tersebut, yang mempersoalkan elemen hiburan selepas berpuasa, membuka ruang tafsiran lebih besar, adakah ini petunjuk bahawa PAS berhasrat mengharamkan segala bentuk hiburan jika diberi mandat memerintah Melaka?
Persoalan ini bukan sekadar retorik politik tetapi menyentuh secara langsung gaya pentadbiran, pendekatan budaya, serta keseimbangan antara nilai agama dan realiti masyarakat majmuk. Jika benar hiburan dianggap sebagai sesuatu yang bercanggah dengan prinsip perjuangan, maka PAS berdepan cabaran besar untuk menjelaskan secara tuntas kepada rakyat, apakah definisi “hiburan” yang ingin diharamkan? Adakah ia meliputi semua bentuk seni atau hanya segmen tertentu?
Pemerhati politik melihat isu ini sebagai ujian konsistensi. Jika PAS tegas dengan pendirian bahawa hiburan tertentu adalah haram, maka pendekatan tersebut perlu diaplikasikan secara menyeluruh bukan hanya dijadikan alat serangan terhadap lawan politik. Dalam konteks ini, persoalan turut dibangkitkan mengenai sikap selektif, khususnya apabila melibatkan negeri-negeri lain yang ditadbir PAS atau sekutunya.
Lebih penting, PAS tidak boleh mengelak daripada memberi kejelasan dasar. Rakyat Melaka berhak mengetahui apakah bentuk pentadbiran yang bakal ditawarkan. Adakah negeri itu akan bergerak ke arah kawalan budaya yang lebih ketat?
Justeru, jika PAS serius, mereka perlu tampil dengan manifesto jelas, berani dan konsisten. Jika benar pendekatan mengawal hiburan adalah sebahagian daripada agenda, maka nyatakan secara terbuka dan biar rakyat menilai, bukan sekadar membuat andaian.
Jangan PAS memekak di Melaka tetapi berpesta di Kedah.


