Sidang DUN Perlis: Jika Semua Baik, Mengapa PAS Perlis Terpaksa Buat Kenyataan Rasmi?

Melaka Digest
By -
0

Apabila PAS Perlis terpaksa mengeluarkan kenyataan rasmi melalui Ketua Penerangannya, Mohamad Zahid Ibrahim, bagi menegaskan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perlis. Jika benar keadaan dalaman kerajaan negeri stabil dan tiada masalah, mengapa perlu tampil memberi penjelasan terbuka seolah memberi satu jaminan?


Pemerhati politik Perlis melihat kenyataan rasmi seperti ini lazimnya muncul apabila wujud keresahan, spekulasi atau tanda-tanda keretakan yang tidak lagi mampu disembunyikan. Jika semuanya benar-benar tenang, biasanya tiada keperluan untuk menafikan sesuatu yang tidak berbangkit.

PAS Perlis menegaskan bahawa mereka akan terus menyokong kerajaan sehingga tamat tempoh pentadbiran semasa. Mereka juga menyatakan tiada sebarang usul undi tidak percaya akan dibawa oleh ADUN PAS dalam Sidang DUN Perlis.

TAmbah pemerhati politik, rakyat cukup matang untuk membaca keadaan. Dalam banyak situasi politik, penafian terbuka sering kali menandakan bahawa isu tersebut memang sedang diperkatakan secara serius di belakang tabir.

Jika tiada sebarang keraguan terhadap kedudukan kerajaan, mengapa isu undi tidak percaya perlu disebut secara khusus?

Jika hubungan antara komponen benar-benar kukuh, mengapa sokongan perlu diulang secara rasmi? Sebelum ini Shahidan Kasim keluarkan kenyataan yang hampir sama.

Kenyataan ini juga secara tidak langsung memberi gambaran bahawa terdapat keperluan untuk meyakinkan pihak tertentu, termasuk Menteri Besar sendiri bahawa PAS masih bersama kerajaan negeri.

Apabila parti terpaksa menyatakan “kami masih sokong”, rakyat akan tertanya-tanya, adakah sebelum ini wujud keraguan bahawa sokongan itu sedang goyah?

Lebih menarik, kenyataan itu turut menyebut bahawa pendirian berkenaan telah dimaklumkan kepada Badan Perhubungan PAS Negeri melalui mesyuarat pada 20 April 2026. Ini menunjukkan isu tersebut bukan perkara kecil, sebaliknya dibincangkan secara rasmi di peringkat kepimpinan negeri.

Apa yang berlaku ini memberi bayangan bahawa hubungan dalaman dalam kerajaan PN Perlis tidak sekuat yang cuba digambarkan. Jika benar semuanya utuh, kepercayaan sesama sendiri tidak perlu dibuktikan melalui kenyataan media.

Rakyat mahu melihat kesepaduan yang lahir melalui tindakan dan pentadbiran bukan melalui kenyataan defensif yang cuba memadam spekulasi.

Hakikatnya, apabila parti-parti dalam kerajaan mula sibuk menjelaskan siapa sokong siapa, siapa tidak bawa usul dan siapa masih setia, itu tanda bahawa fokus sudah mula beralih daripada rakyat kepada kelangsungan kuasa.

Perlis memerlukan tumpuan terhadap ekonomi negeri, peluang pekerjaan anak muda, pembangunan pertanian moden, pelaburan baharu dan peningkatan taraf hidup rakyat.

Namun jika masa dihabiskan untuk menepis khabar angin politik dalaman, ia memberi isyarat bahawa kerajaan sedang terganggu oleh isu kepercayaan sesama sendiri.

Rakyat tidak memilih kerajaan untuk menyaksikan episod siapa setia dan siapa curiga. Rakyat memilih kerajaan untuk mentadbir.

Kenyataan PAS Perlis mungkin bertujuan menenangkan keadaan tetapi dalam masa sama ia membuka lebih banyak persoalan daripada jawapan.
 

 

Tags:

Post a Comment

0Comments

Post a Comment (0)