Soalan
Benarkah UMNO gila kuasa, mahu jadi MB, tebuk atap, guna isu adat sebagai alasan
Jawapan
UMNO BN tidak campur urusan adat. UMNO BN menolak apabila MB dilihat mencampuri ruang adat, membelakangkan proses kerajaan negeri dan gagal mengurus krisis sehingga menjejaskan kestabilan negeri.
Konflik Luak Sungei Ujong adalah urusan adat. UMNO BN tidak menentukan siapa betul atau salah dalam urusan adat tetapi apabila Menteri Besar membuat kenyataan dan tindakan yang dipertikai dalam ruang adat, membelakangkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan membiarkan krisis menjadi perdebatan umum sehingga mengganggu kestabilan kerajaan negeri, maka ADUN UMNO BN tidak boleh hanya berdiam diri.
Soalan
Adakah UMNO BN Mencampuri Urusan Adat
Jawapan
UMNO BN Negeri Sembilan tidak mencampuri urusan adat. Namun, apabila krisis yang melibatkan Institusi Adat dan Perlembagaan gagal diurus dengan tertib sehingga menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar, maka ADUN UMNO BN mempunyai tanggungjawab untuk mengambil pendirian.
Pendirian ini bukan soal perebutan kuasa. Selepas PRN lalu, UMNO BN memilih untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negeri. Tetapi apabila keyakinan terhadap Menteri Besar telah hilang akibat cara krisis ini ditangani, UMNO BN tidak boleh terus menanggung tanggungjawab politik terhadap kegagalan tersebut.
Segala langkah selepas ini akan dibuat mengikut lunas Perlembagaan, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tertib institusi
Soalan
Adakah UMNO cuba merampas kuasa
Jawapan
Tidak. Kalau UMNO BN mahu kuasa semata-mata, peluang itu sudah ada selepas PRN tetapi UMNO BN memilih kestabilan dan menyertai Kerajaan Perpaduan Negeri. Isu hari ini timbul kerana keyakinan terhadap Menteri Besar telah hilang selepas krisis adat dan perlembagaan gagal diurus dengan tertib.
Soalan
Adakah BN akan membentuk Kerajaan bersama PN?”
Jawapan
Fokus hari ini bukan soal rundingan kuasa. Fokus hari ini ialah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar. UMNO BN akan mempertimbangkan semua opsyen yang sah di sisi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri demi mengembalikan kestabilan Negeri Sembilan.
Soalan
Adakah UMNO campurtangan dalam urusan Adat
Jawapan
Tidak. UMNO BN tidak menentukan urusan adat. Itu bukan peranan parti politik tetapi apabila tindakan atau kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat sehingga mencetuskan krisis keyakinan, ADUN UMNO BN wajib bersuara.
Soalan
Adakah tindakan UMNO menentang Yang di-Pertuan Besar
Jawapan
Sama sekali tidak. UMNO BN menjunjung kasih dan menghormati Institusi Diraja serta Institusi Adat Negeri Sembilan. Sebab itu UMNO BN mahu semua perkara diselesaikan mengikut tertib, perlembagaan dan undang-undang negeri.
Soalan
Kenapa sekarang
Jawapan
Berdasarkan kenyataan rasmi, Exco daripada UMNO BN tidak dimaklumkan dalam perbincangan kerajaan negeri dan hanya mengetahui krisis ini apabila keadaan sudah kritikal serta menjadi perdebatan umum. Sebab itu pendirian perlu dibuat secara jelas. UMNO BN juga terkejut apabila Undang Berempat tidak hadir ke pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri yang seterusnya menggambarkan situasi menjadi amat kritikal.

