UMNO tidak perlu menggunakan jalan belakang atau percaturan politik tersembunyi atau 'tebuk atap' untuk menentukan kepimpinan Negeri Sembilan. Dengan kekuatan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri, jika benar UMNO mahu menukar kerajaan atau menentukan Menteri Besar melalui jajaran baharu, perkara itu sudah lama boleh dilakukan secara terbuka dan sah mengikut lunas demokrasi.
Justeru, isu yang sedang berlaku di Negeri Sembilan tidak wajar disempitkan sebagai permainan politik semata-mata. Hakikat sebenar, ia lebih menjurus kepada pertembungan antara adat, perlembagaan dan tafsiran kuasa pentadbiran negeri.
Negeri Sembilan mempunyai sistem kenegaraan yang unik berteraskan Adat Perpatih, berbeza daripada negeri-negeri lain di Malaysia. Dalam kebanyakan negeri, takhta diwarisi secara langsung mengikut susur galur tertentu. Namun di Negeri Sembilan, kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak ditentukan secara mutlak oleh warisan automatik, sebaliknya melalui proses pemilihan yang melibatkan Undang Yang Empat.
Undang Yang Empat mempunyai peranan penting dalam memilih dan melantik Yang di-Pertuan Besar daripada kalangan putera-putera yang layak dalam kerabat diraja, selaras dengan adat serta tradisi negeri yang telah sekian lama diamalkan.
Dalam konteks ini, sebarang campur tangan politik atau tafsiran sepihak oleh kerajaan negeri boleh menimbulkan persepsi bahawa sempadan antara kuasa eksekutif dan institusi adat sedang dicabar.
Tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dilihat oleh sesetengah pihak sebagai terlalu cenderung menyebelahi satu pihak, tanpa mengambil pendekatan lebih berhati-hati melalui rundingan menyeluruh, pandangan pakar perlembagaan atau konsensus politik yang lebih neutral.
Sebagai perbandingan, ketika Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi Menteri Besar, negeri juga pernah berdepan situasi sensitif berkaitan institusi adat. Namun pendekatan yang diambil ketika itu ialah menghormati proses sedia ada dan menyerahkan pertimbangan kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebagai badan penasihat tertinggi negeri dalam soal berkaitan adat.
Pendekatan tersebut menunjukkan kematangan pentadbiran iaitu undang-undang digunakan untuk menyokong keputusan adat, bukannya kuasa politik digunakan untuk mempengaruhi proses adat.
Atas sebab itu, tindakan Barisan Nasional menarik sokongan dalam isu tertentu dilihat berpunca daripada kebimbangan bahawa kerajaan negeri telah melangkaui batas peranan pentadbiran dengan memasuki wilayah yang sepatutnya ditentukan melalui mekanisme adat dan institusi tradisi.
Apa yang perlu difahami ialah di Negeri Sembilan, kekuatan institusi tidak hanya bersandar kepada jawatan eksekutif semata-mata. Sistem negeri ini dibina atas keseimbangan antara demokrasi moden, perlembagaan dan warisan adat yang tersendiri.
Mana-mana pihak yang mengabaikan hakikat ini berisiko tersilap langkah. Dalam Negeri Sembilan, menghormati adat bukan pilihan politik, tetapi keperluan kenegaraan.
