Cadangan Perikatan Nasional (PN) Melaka untuk melancarkan “Pusat Hantar Cadangan” bagi mengumpul pandangan rakyat malam tadi di ceramah politik Ali Pasir dan rakan sekurunya mengundang persoalan di kalangan netizen dan pemerhati politik apabila inisiatif tersebut dilihat jauh berbeza daripada fungsi sebenar sebuah pusat khidmat masyarakat yang sepatutnya menyelesaikan masalah rakyat secara terus di lapangan.
Ramai mula membandingkan kenyataan terbaharu Mohamad Ali Mohamad atau lebih dikenali sebagai “Ali Pasir” dengan kenyataan beliau beberapa bulan lalu yang mahu membuka pusat khidmat masyarakat untuk membantu rakyat Melaka. Namun kini, idea tersebut seolah-olah berubah menjadi sekadar “kaunter menerima cadangan” bagi tujuan manifesto politik. BACA di SINI
Persoalan mula timbul sama ada pendekatan itu merupakan hasil acuan pengerusi PN Melaka, Radzi Jidin, yang menurut Ali Pasir sendiri menjadi rujukan utama beliau dalam gerak kerja politik di Melaka. Betulkah Radzi Jidin tiada pusat khidmat ahli parlimen di Putrajaya?
Netizen turut mempersoalkan apakah budaya politik “terima cadangan tetapi gagal selesaikan masalah rakyat” kini cuba dibawa ke Melaka, sedangkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dilihat aktif turun padang menerusi pelbagai program akar umbi termasuk program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Program WRUR diperkenalkan sebagai pendekatan pentadbiran turun padang secara menyeluruh melibatkan Ketua Menteri, barisan Exco, jabatan kerajaan dan agensi berkaitan untuk menyelesaikan masalah rakyat secara terus di sesuatu kawasan dalam tempoh tertentu.
Menerusi program itu, pelbagai isu tempatan seperti infrastruktur, kebajikan rakyat, kemudahan awam, pendidikan, perumahan dan bantuan masyarakat dapat diselesaikan secara lebih cepat melalui kehadiran terus pimpinan kerajaan di lapangan.
“Rakyat perlukan penyelesaian, bukan sekadar peti cadangan politik,” kata seorang pengguna media sosial yang mempersoalkan hala tuju sebenar PN Melaka.
Lebih menarik perhatian apabila timbul persoalan sama ada semua cadangan rakyat yang diterima nanti benar-benar akan dijadikan manifesto atau sekadar bahan politik sementara menjelang pilihan raya.
Malah ada netizen menyindir, bagaimana jika rakyat menghantar cadangan supaya semua calon politik mestilah bebas daripada kes rasuah dan pertuduhan mahkamah?
Ali Pasir sendiri kini sedang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah.
Pada Jun 2025, Mohamad Ali Mohamad dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 20 pertuduhan menerima rasuah melibatkan wang tunai berjumlah RM235,000 dan tiga kenderaan mewah berkaitan projek tambakan laut di Melaka bernilai RM45.1 juta.
Menurut pertuduhan, beliau yang ketika itu merupakan pengarah urusan sebuah syarikat pemaju didakwa menerima wang tunai antara RM5,000 hingga RM20,000 selain menerima kenderaan mewah jenis BMW 730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur sebagai balasan melantik sebuah syarikat menjadi kontraktor projek tambakan laut di Kota Laksamana, Melaka.
Kes tersebut masih berjalan di mahkamah dan beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Dalam keadaan itu, ramai mula mempersoalkan kewibawaan PN Melaka untuk bercakap soal manifesto dan masa depan rakyat sedangkan tokoh utama mereka sendiri sedang berdepan kes mahkamah berprofil tinggi.
Pemerhati politik berpandangan, rakyat Melaka hari ini bukan lagi mudah terpesona dengan slogan atau gimik politik. Mereka mahu melihat rekod kerja sebenar, kehadiran di lapangan serta kemampuan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung.
Adakah PN Melaka benar-benar mahu membantu rakyat atau sekadar mengumpul cadangan untuk dijadikan bahan kempen pilihan raya?

