Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini dilihat semakin parah apabila seorang demi seorang pemimpin kanan parti itu tampil secara terbuka menyerang kepimpinan Presiden, Muhyiddin Yassin.
Terbaharu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Fayhsal menegaskan bahawa mana-mana ahli dan pemimpin Bersatu yang telah dikenakan tindakan disiplin tidak akan sesekali berpatah balik menyokong Muhyiddin.
Malah beliau mendakwa, Bersatu kini sudah hilang nilai dan pengaruh di peringkat akar umbi susulan krisis kepimpinan yang berpanjangan serta kegagalan pucuk pimpinan menyelesaikan perpecahan dalaman parti.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, gelombang penghijrahan ahli akar umbi ke parti baharu yang dikaitkan dengan Hamzah Zainudin semakin kuat.
“Kita tahu Bersatu ialah parti yang sudah tidak ada nilai kepada akar umbi. Sebab itu ramai akan berhijrah menyertai parti baharu Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya.
Bekas Ketua Armada Bersatu itu turut menegaskan bahawa tiada seorang pun ahli Parlimen yang kini menentang Muhyiddin akan kembali menyokong Presiden Bersatu tersebut.
“Kami istiqamah bersama Datuk Seri Hamzah kerana kami tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam parti,” katanya lagi.
Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran jelas bahawa keretakan dalam Bersatu bukan lagi sekadar perbezaan pandangan biasa, sebaliknya sudah memasuki fasa perpecahan terbuka yang boleh menggugat masa depan parti dalam Perikatan Nasional (PN).
Wan Ahmad Fayhsal turut menyindir tindakan Lembaga Disiplin Bersatu yang memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan menggantung tujuh lagi wakil rakyat selama dua penggal pemilihan.
Menurut beliau, tindakan penggantungan itu menunjukkan kepimpinan parti tidak cukup berani untuk mengambil tindakan drastik sepenuhnya.
“Kalau rasa mereka salah, pecat sahaja semua. Jangan gantung. Gantung ini tidak gentleman,” katanya sinis.
Dalam nada lebih keras, beliau turut mendakwa Bersatu bakal menjadi parti paling lemah dalam gabungan PN apabila Dewan Rakyat kembali bersidang Jun ini kerana majoriti wakil rakyat parti itu didakwa sudah tidak lagi bersama Muhyiddin.
Untuk rekod, Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin telah dipecat daripada parti itu pada 13 Februari lalu selepas didakwa menjadi dalang gerakan mendesak Muhyiddin berundur.
Hamzah juga dikaitkan dengan usaha mengumpul akuan bersumpah (SD) bagi mengambil alih kepimpinan Bersatu, sekali gus mencetuskan perang terbuka dalam parti berkenaan.
Apa yang berlaku ketika ini memperlihatkan Bersatu bukan sahaja sedang kehilangan pemimpin utama, malah turut berdepan risiko kehilangan keyakinan akar umbi secara besar-besaran.
Jika konflik ini terus berpanjangan, tidak mustahil Bersatu bakal berdepan detik paling gelap dalam sejarah politiknya sejak ditubuhkan.
