Tindakan PAS dan Bersatu Melaka melancarkan jentera pilihan raya secara berasingan mula mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan pemerhati politik negeri itu dan juga penyokong PN Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Walaupun kedua-dua parti masih dilihat berada dalam blok pembangkang yang sama di peringkat tertentu, perkembangan terbaru ini memberi gambaran seolah-olah hubungan politik antara PAS dan Bersatu di Melaka tidak lagi benar-benar kukuh seperti yang cuba dipersembahkan kepada rakyat sebelum ini.
Apa yang lebih menarik perhatian, pelancaran jentera PAS Melaka berlangsung dalam suasana yang dilihat lebih menonjolkan kekuatan parti itu sendiri tanpa gambaran jelas kesatuan bersama Bersatu.
Namun paling menimbulkan tanda tanya ialah kehadiran Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dalam program pelancaran jentera PAS Melaka tersebut.
Jika PAS dan Bersatu benar-benar bergerak sebagai satu pasukan politik yang kukuh menjelang PRN Melaka, kenapa pelancaran jentera dilakukan secara berasingan?
Dan jika benar hubungan kedua-dua parti masih erat, kenapa kehadiran Mas Ermieyati dalam program PAS dan bukannya wakil Bersatu.
Keadaan ini mula membuka ruang kepada pelbagai spekulasi bahawa PAS dan Bersatu sebenarnya sedang bergerak dengan agenda masing-masing bagi mengukuhkan kedudukan politik di Melaka.
Ada juga yang melihat situasi tersebut sebagai petanda awal bahawa kepercayaan politik antara kedua-dua parti mungkin tidak sekuat dahulu, khususnya selepas pelbagai pergolakan dan percaturan politik yang berlaku di peringkat nasional.
Lebih menarik, akar umbi politik tempatan mula mempersoalkan sama ada PAS sebenarnya sedang bersedia bergerak secara lebih dominan tanpa terlalu bergantung kepada Bersatu dalam menghadapi PRN akan datang.
Dalam masa sama, tindakan menjemput Mas Ermieyati ke program PAS turut mencetuskan persoalan sama ada ia sekadar menjaga hubungan diplomatik politik atau sebenarnya cuba menghantar mesej tertentu kepada penyokong di peringkat bawah.
Pemerhati politik juga melihat situasi ini sebagai sesuatu yang agak janggal kerana kebiasaannya pelancaran jentera pilihan raya memberi gambaran jelas tentang kekuatan gabungan dan kesepaduan parti-parti yang bekerjasama.
Namun dalam kes Melaka, apa yang berlaku kelihatan berbeza.
Semakin ramai mula melihat PAS dan Bersatu bukan lagi bergerak sebagai satu pasukan yang benar-benar selari, sebaliknya lebih kepada rakan politik yang mempunyai kepentingan dan percaturan masing-masing.
Tambahan pula, dua hari lepas 200 orang ahli Bersatu Masjid Tanah yang dikatakan penyokong tegar Mas Ermieyatie menyertai UMNO Masjid Tanah. Jadi di mana lagi kekuatan beliau di Melaka?


